MOHD Redzuan (tengah) ketika merasmikan Majlis Perasmian Persidangan Masa Depan PKS 2019 di Putrajaya, semalam.
MOHD Redzuan (tengah) ketika merasmikan Majlis Perasmian Persidangan Masa Depan PKS 2019 di Putrajaya, semalam.
hmdigital

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) bersedia menjadi pemangkin kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi memastikan mereka memahami secara mendalam mengenai digitalisasi dan ekonomi digital.

Menteri Pembangunan Usahawan (MED), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, kebanyakan usahawan PKS enggan menceburi sektor digital kerana merasakan perkhidmatan secara dalam talian tidak selamat.

“Menurut statistik, kita lihat PKS menyatakan tidak mahu menggunakan gerbang pembayaran sebab mereka merasakan penggunaanya tidak selamat.

“Kita (kementerian) boleh membantu mereka, dan institusi kewangan yang menyediakan perkhidmatan ini turut menyertakan sekuriti dan insurans sekiranya berlaku apa-apa yang tidak diingini,” katanya kepada selepas Majlis Perasmian Persidangan Masa Depan PKS 2019 di sini, semalam.

Mohd Redzuan berkata, mereka perlu memahami manfaat ekonomi digital yang sekali gus akan meningkatkan pertumbuhan perniagaan mereka.

“Peranan kami adalah untuk memudahkan peningkatan (PKS), terutama dalam kalangan kumpulan berpendapatan rendah (B40), kami perlu menyedarkan mereka untuk mengaplikasinya dalam rangkaian bekalan bagi memperoleh hasil daripada ekonomi digital,” katanya, semalam.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata, persidangan Masa Depan PKS diadakan sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk mencapai sumbangan PKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 50 peratus menjelang 2030, seperti disasarkan di bawah Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 7:16 AM