BARBE (kiri) dan Chadova menunjukkan koleksi Red Label di cawangan Bata di pusat beli-belah Mid Valley, semalam.
BARBE (kiri) dan Chadova menunjukkan koleksi Red Label di cawangan Bata di pusat beli-belah Mid Valley, semalam.
Hazwan Faisal Mohamad

Kuala Lumpur: Pengeluar kasut nombor satu dunia, Bata bakal melancarkan barisan koleksi baru kasutnya di Malaysia serentak di seluruh dunia esok.

Dikenali sebagai Bata Red Label, koleksi baru itu adalah rekaan hasil kerjasama di antara Bata dan pengeluar kasut dan aksesori dari Kanada, Aldo Group.

Bata Malaysia bakal membawa masuk 13 koleksi kasut wanita dengan harga antara RM109 hingga RM159 serta lima koleksi kasut lelaki berharga RM169.

Pengurus Jenama Global Bata, Marcos Canovas Barbe berkata, kerjasama yang julung kali diadakan Bata dengan pengeluar kasut lain itu bertujuan memberi nafas baru yang lebih segar dalam rekaan kasut keluarannya.

Katanya, ini berikutan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, jenama kasut dari Republik Czech itu masih dianggap baik, walaupun kelihatan agak tradisional.

“Justeru, kami mahu beralih dan berubah dengan menawarkan produk yang kelihatan lebih trending dan cool di mata pelanggan.

“Sebelum ini, kami sudah membawa masuk barisan koleksi Made in Italy ke Malaysia tahun lalu yang menawarkan lebih keselesaan di samping rekaan menarik.

“Kami yakin koleksi Bata Red Label mampu menarik minat pelanggan di Malaysia dan seluruh dunia apabila dilancarkan pertengahan bulan ini,” katanya di kedai Bata di pusat beli-belah Midvalley, di sini, baru-baru ini.

Barbe hadir bersama Ketua Pemasaran Global Bata, Jana Barbati Chadova dalam rangka lawatan kerja di Malaysia bagi meninjau perkembangan terkini dan melihat pelaksanaan konsep baru jenama itu di sini.

Mengulas lanjut mengenai Bata Red Label, Barbe berkata, pasukannya bekerja rapat dengan Aldo Group bagi menghasilkan produk berkualiti berdasarkan trend terkini di seluruh dunia.

“Kerjasama ini terjalin dengan kedua-dua syarikat percaya masih ada ruang dalam pasaran bagi segmen pasaran tradisional,” katanya.

Sementara itu, Chadova berkata, Bata sentiasa berusaha menambah baik pengeluaran produknya dengan mengutamakan kualiti dan pada masa sama memastikan kasutnya kekal bergaya.

Katanya, Bata Red Label dihasilkan bagi menarik golongan muda yang sebelum ini lebih mengaitkan jenama ini dengan kasut sekolah.

“Selepas 16 Mac ini, apabila mereka ke kedai kami, mereka akan mendapati Bata sebenarnya menawarkan pelbagai produk menarik dan bergaya terutama daripada barisan Red Label,” katanya.

Bata memasuki pasaran Malaysia pada 1935 dan sehingga kini mempunyai lebih 240 rangkaian kedai di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Mac 2018 @ 9:53 AM