TEKNOLOGI Insolia serap berat pemakai kasut tumit tinggi agar lebih selesa.
TEKNOLOGI Insolia serap berat pemakai kasut tumit tinggi agar lebih selesa.
Siti Nadirah Hafidzin


Cantik tetapi menyeksakan. Itu antara frasa sinonim digambarkan kepada kasut tumit tinggi apabila disarungkan setiap wanita.

Mungkin tidak semua wanita beranggapan sebegitu, namun pemilihan kasut tumit tinggi yang salah sememangnya menyakitkan kaki juga anggota badan lain terutama tumit dan pinggang.

Sama ada wanita itu bertubuh kurus atau gemuk, sakit di bahagian tumit pasti terasa apabila terlalu lama memakai kasut terbabit berbanding kasut tapak rata.

Bagaimanapun, tidak dinafikan pemakaian kasut tumit tinggi biasanya membantu mendapat postur badan lebih cantik, pinggul lebih lentik dan kaki langsing berbanding wanita yang hanya mengenakan selipar atau kasut rata.

Sehubungan itu, bagi membantu setiap wanita tanpa terkecuali untuk bergaya dengan menyarung kasut tumit tinggi yang tepat, jenama kasut Bata baru-baru ini melancarkan koleksi kasut dengan teknologi baru bagi memastikan kasut tumit tinggi lebih selesa untuk dipakai.

Teknologi dipanggil Insolia itu menyerap berat pemakai melalui tumit dan jari supaya si pemakai boleh memakai kasut tumit tinggi tiga kali ganda lama serta selesa berbanding biasa.

Mengikut kajian dilakukan Bata, hampir 90 peratus wanita mengalami kesakitan ketika memakai kasut tumit tinggi.

Pembangunan teknologi Insolia dengan pelapik di dalam kasut, mampu membantu mengimbangi antara berat dan tumit.

Memakai kasut tumit tinggi biasa boleh menyebabkan kaki bengkak namun teknologi Insolia mengubah semua itu dengan memberikan keselesaan kepada si pemakai kasut tumit tinggi.

Koleksi terbaru ini didatangkan dalam tiga rekaan pilihan menarik dengan harga RM129 sepasang. Kasut tumit tinggi Bata ini boleh didapati di seluruh cawangan Bata di seluruh negara.

Hadir pada majlis pelancaran berkenaan, Pengurus Besar Bata (Malaysia) Sdn Bhd Paolo Grassi dan Pengarah Kewangan Bata Duncan Cowe bersama barisan selebriti yang menggayakan koleksi terbaru kasut tumit tinggi Bata Insolia pada majlis pelancarannya di KLCC, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2017 @ 3:33 AM