LUA  (tengah) bersama Yasuhiro (dua dari kiri) dan Teh (tiga dari kanan) pada  majlis pelancaran pejabat SGshop Malaysia@Medini di Puteri Harbour, Iskandar Puteri.
LUA (tengah) bersama Yasuhiro (dua dari kiri) dan Teh (tiga dari kanan) pada majlis pelancaran pejabat SGshop Malaysia@Medini di Puteri Harbour, Iskandar Puteri.
Mary Victoria Dass

Iskandar Puteri: SGshop platform beli-belah atas talian berpangkalan di Singapura yakin menarik 500,000 pelanggan di seluruh negara menjelang 2020.

Pengarah SGshop Malaysia, Lua Cheong Hong berkata, syarikat itu kini mempunyai 53,000 pelanggan di Malaysia dan percaya sasaran itu dapat dicapai mengikut masa ditetapkan.

Menurutnya, SGshop dikendalikan SGshop Ecommerce Sdn Bhd menyediakan pelbagai jenama barangan terutama pelbagai produk berkualiti dari China yang menerima sambutan baik pelanggan tempatan.

“Memandangkan pasaran Malaysia semakin meningkat, kami menyasarkan transaksi jualan bernilai RM5 juta hingga RM10 juta sepanjang tahun depan.

“Negara ini antara pasaran terbaik untuk mengembangkan perniagaan dan kami merancang menambah pelaburan RM10 juta di Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang bertujuan mengembangkan perniagaan kerana yakin ia mampu memberi pulangan memberangsangkan,” katanya selepas majlis pelancaran pejabat SGshop Malaysia di Bandar Medini di sini, semalam.

Hadir sama, Penasihat kepada Sekretariat Pembangunan Usahawan Malaysia (SAME) di Pejabat Perdana Menteri, Teh Kee Sin, Naib Presiden Eksekutif Pembangunan Bandar Pintar Medini Iskandar Malaysia Sdn Bhd, Yasuhiro Nakano.

Lua berkata, syarikat berkenaan yang beroperasi di negara ini sejak lebih tiga tahun lalu mengukuhkan komitmennya menerusi pelancaran pejabat operasinya di Medini 6, Bandar Medini.

Syarikat itu juga bercadang memperluaskan penawaran produknya dari Korea dan Amerika Syarikat pada masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 9:12 AM