Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: Jabatan Kerja Raya (JKR) komited untuk memacu standard kualiti tinggi dalam industri pembinaan negara melalui penerapan Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi projek awam di bawah kendaliannya.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Dr Roslan Mad Taha berkata, sehingga Jun tahun ini, 11 projek IBS sudah disiapkan dengan nilai RM360 juta dan akan bertambah berdasarkan kesesuaian IBS dengan projek yang sedang dirancang.

Menurutnya, pihaknya optimis mampu melengkapkan projek IBS melebihi jumlah projek dan nilai dicatatkan pada tahun lalu iaitu 15 projek dengan nilai RM638 juta menjelang hujung tahun ini.

“Keyakinan itu berdasarkan keupayaan kami untuk melaksanakan projek IBS bukan saja bagi projek berskala besar, malah kecil,” katanya pada taklimat media JKR Memacu Transformasi Pembinaan Projek Awam Melalui Program Tranformasi Industri Pembinaan (CITP), di sini.

Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan untuk mewajibkan penggunaan IBS dan dijadikan mandatori kepada semua pemaju hartanah awam dan swasta dengan mereka diberikan tempoh peralihan selama tiga tahun bermula 2017.

JKR selaku pelaksana utama dalam industri pembinaan negara memberikan komitmen untuk memacu IBS iaitu satu daripada teras produktiviti yang digariskan dalam CITP 2016-2020.

Sehingga kini, 44 daripada 71 projek JKR menggunakan IBS dan JKR menjangkakan semua projek awam akan menggunakan IBS sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Beliau berkata, kejayaan JKR dalam melaksanakan lebih banyak projek IBS disebabkan pencapaian memberangsangkan jabatan itu dalam pelaksanaan IBS bagi projek berskala kecil.

“Sebelum ini, kami menyiapkan 21 projek di sekolah menggunakan 100 peratus IBS di mana ia bukan projek berskala besar, cuma membabitkan pembinaan beberapa bilik darjah di setiap sekolah.

“Kejayaan itu membuktikan IBS juga boleh dilaksanakan bagi projek kecil dan ia terbukti apabila kami menyiapkan 11 projek IBS dengan kos lebih rendah daripada tahun lalu dan akan terus melaksanakan IBS bagi semua projek termasuk projek rumah banjir JKR pada masa akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, JKR terus aktif memperkasakan lagi pelaksanaan IBS bagi projek awam melalui penggunaan pelan prakelulusan (PAP) iaitu pelan reka bentuk bagi pelbagai bangunan yang berasaskan IBS dan dimensi komponen IBS.

Roslan berkata, penggunaan PAP dapat meningkatkan penggunaan IBS dan menurunkan kos kerana ia bergantung kepada komponen di mana pelan itu diharap dapat membuka peluang kepada pengilang untuk mengeluarkan lebih banyak komponen mengikut standard ditetapkan.

Menurutnya, sehingga kini JKR sudah menghasilkan 120 reka bentuk dalam 19 kategori bangunan dengan 85 reka bentuk sesuai dengan IBS manakala 35 reka bentuk lagi adalah konvensional.

“Kami berusaha untuk mereka bentuk semula 35 rekaan konvensional ini bagi memastikan ia menjadi reka bentuk IBS sepenuhnya, sekali gus mewujudkan 120 reka bentuk IBS bagi diguna pakai dalam semua projek pembinaan JKR,” katanya.

Beliau berkata, JKR juga komited bagi memastikan tahap kualiti pembinaan yang tinggi untuk projek di bawah kendaliannya melalui pelaksanaan Gerbang Nilai iaitu proses kajian pembinaan yang akan meningkatkan kualiti pembinaan dan tahap produktiviti.

Menurutnya, Gerbang Nilai diperkenalkan di bawah Rancangan Malaysia ke-10 bagi memastikan setiap peringkat dalam pembinaan dilaksanakan mengikut spesifikasi ditetapkan dan memenuhi kualiti.

“Ciri-ciri penting bagi proses kajian ini adalah setiap projek pembinaan hanya dibenarkan untuk diteruskan jika segala keperluan pada fasa semasa dapat dipenuhi.

“Selain itu, mana-mana kontraktor yang tidak memenuhi spesifikasi di bawah Gerbang Nilai akan ditamatkan kontrak mereka atau melalui proses audit yang ketat sebelum diberi tempoh lanjutan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2017 @ 12:17 AM