Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menerusi Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) yang dilaksanakan bagi tempoh antara 2016 dan 2020 menyasarkan peningkatan dua setengah kali ganda produktiviti dalam industri itu menjelang 2020.

Sasaran itu dijangka dapat mengurangkan penggunaan tenaga kerja, sekali gus menurunkan kadar penggunaan tenaga kerja asing yang kini mencecah 450,000 yang berdaftar di bawah CIDB.

Ketua Eksekutif CIDB Datuk Seri Judin Abdul Karim berkata, antara langkah yang boleh meningkatkan produktiviti industri pembinaan negara adalah pemain mempraktiskan teknologi sistem pembinaan perindustrian (IBS) yang kini semakin meningkat penggunaannya.

Beliau berkata, penggunaan IBS membantu mengurangkan sehingga 50 peratus tenaga kerja manusia kerana ia menyediakan komponen binaan yang siap untuk dipasang bagi sesuatu bangunan serta boleh menjimatkan masa untuk menyiapkan sesuatu projek.

“Dalam isu kebergantungan tenaga kerja asing pula, ia sebenarnya membawa pelbagai isu kurang baik kepada negara terutama faktor keselamatan sosial dan kesihatan walaupun golongan ini mampu menawarkan gaji murah.

“Kami juga sentiasa menguatkuasakan penggunaan tenaga kerja warga asing secara haram dalam projek yang dilaksanakan kontraktor dengan menguatkuasakan undang-undang CIDB. Antaranya menggantung atau membatalkan lesen mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya di sini, semalam.

Dalam taklimat itu, CIDB menjelaskan peranan CITP yang baru dilancarkan minggu lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

CITP mewujudkan empat teras utama iaitu kualiti, keselamatan dan profesionalisme; kelestarian alam sekitar; produktiviti dan pengantarabangsaan.

CITP adalah sebahagian daripada Rancangan Malaysia ke-11 (RMKe-11) yang mana di bawah teras itu terdapat 18 inisiatif bagi mentransformasi sektor pembinaan negara dalam tempoh lima tahun.

Judin berkata, industri pembinaan negara mencatatkan peningkatan lapan peratus dari tahun ke tahun bermula 2011 hingga 2014 dengan nilai projek mencecah RM500 bilion.

Katanya, industri itu mampu berkembang kepada dua angka tahun ini walaupun berdepan situasi ekonomi mencabar memandangkan pelaksanaan projek pembinaan yang sentiasa diteruskan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2015 @ 6:29 AM