SYARIKAT e-dagang terbesar China mahu beri pengalaman beli-belah berbeza kepada pelanggan.
SYARIKAT e-dagang terbesar China mahu beri pengalaman beli-belah berbeza kepada pelanggan.

Hangzhou, China: Alibaba Group, syarikat e-dagang terbesar China mula melaksanakan pelbagai strategi baru dalam berdepan revolusi era peruncitan baru yang berperanan untuk mewujudkan ekosistem perniagaan unik dan bersepadu.

Selaras era baru peruncitan itu, syarikat mengambil langkah memperkenalkan kedai tanpa pekerja dan tanpa tunai dikenali sebagai Tao Cafe serta pembesar suara pintar, Tmall Genie.

Ketua Pegawai Pemasaran Alibaba Chris Tung berkata, strategi peruncitan baru itu mengguna pakai teknologi data besar yang menghubung dan mengoptimumkan cawangan luar talian serta dalam talian bagi meningkatkan pengalaman beli-belah pelanggan.

Beliau berkata, pengenalan Tao Cafe itu bukanlah bermaksud syarikat e-dagang terbesar China itu untuk membuka lebih banyak gedung fizikal, sebaliknya elemen pendigital kepada setiap pengunjung ke kafe ini.

“Kami adalah syarikat e-dagang gergasi dan ia bukan bermakna kami akan membuka lebih banyak kedai fizikal kerana kami bukan menjalankan operasi restoran. Ia hanya mengenai pendigital perniagaan.

“Sebagai contohnya, dalam pasaran atas talian, Alibaba sentiasa mengambil inisiatif mewujudkan laman khas di laman sesawangnya berdasarkan minat pengguna menerusi data besar.

“Apabila anda membuka aplikasi kami, setiap saat memberikan kelainan bagi setiap halaman yang dilayari,” katanya pada Festival Pembuat Taobao yang berlangsung dari 8 hingga 12 Julai lalu di Pusat Ekspo Antarabangsa Hangzhou, di sini.

Festival itu disertai 108 pedagang platform Taobao Marketplace iaitu antara platfrom di bawah Alibaba Group yang membabitkan empat zon pameran berbeza seperti gaya semasa, budaya, perkara kecil serta individu.

Tung berkata, perniagaan luar talian atau offline dilihat tidak menarik ketika ini memandangkan penampilan kedai fizikal adalah sama tanpa variasi yang berbeza.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Tao Cafe adalah kedai versi pop-up dan antara usaha Alibaba dalam menuju ke arah peruncitan baru di mana kafe berkenaan masih di peringkat percubaan yang terbuka untuk penambahbaikan serta kerjasama.

Malah, Tmall Genie yang diperkenalkan sebagai pembesar suara pintar itu mempunyai kelebihan sebagai pembantu digital yang dijual pada harga 499 Yuan atau RM315 seunit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2017 @ 4:55 PM