SKRIN menunjukkan jumlah transaksi dalam Alibaba sempena ‘Hari Bujang’. FOTO Reuters
SKRIN menunjukkan jumlah transaksi dalam Alibaba sempena ‘Hari Bujang’. FOTO Reuters
AFP

Shanghai: Pembeli China berbekalkan telefon bimbit membelanjakan berbilion dolar dalam pembelian e-dagang dengan merebutkan pelbagai tawaran hebat sempena ‘Hari Bujang’ yang dilabel festival beli-belah dalam talian sehari terbesar dunia.

Turut dikenali sebagai ‘11 berganda’ kerana diadakan pada 11 November, acara dilancarkan pada 2009 oleh syarikat e-dagang gergasi Alibaba bermula pada tengah malam dan menjangkaui jualan tahun lalu apabila catatan selepas 18 jam - pada jam 6 petang (waktu tempatan) menghampiri AS$21 bilion (RM88 bilion) iaitu hampir sama dengan keluaran tahunan Honduras atau Afghanistan.

Jumlah itu jauh menjangkaui AS$17.8 bilion (RM75 bilion) dibelanjakan dalam tempoh 24 jam tahun lalu.

Acara pembelian tahunan pengguna China itu dilihat penting untuk pembuat dan penjual di seluruh negara malah merangkumi sebahagian besar pesanan tahunan bagi banyak perniagaan.

Lima minit selepas detik tengah malam, Alibaba memproseskan 256,000 transaksi pembayaran sesaat, dua kali ganda tahun lalu, kata syarikat itu.

Lebih 90 peratus pembelian dibuat menggunakan telefon bimbit dengan majoritinya di platform e-dagang utama Alibaba, Taobao.com.

Lebih separuh daripada 1.3 bilion rakyat China menggunakan telefon pintar yang semakin penting untuk kehidupan seharian termasuk digunakan bukan saja untuk tujuan berkomunikasi malah hiburan, beli-belah, berita serta membuat pesanan makan atau teksi. Ia turut menjadi dompet digital untuk kebanyakan pembelian.

Alibaba melancarkan ‘Hari Bujang’ sebagai versi pembelian dalam talian China untuk ‘Black Friday’ yang diamalkan di Amerika Syarikat pada hujung November. Ia menyasarkan peminat pembelian murah China dan mengambil kesempatan terhadap pembelian menggunakan telefon pintar yang semakin menjadi kegilaan di negara itu.

Perkembangan e-dagang yang mendadak di China meletakkan Alibaba seiring dengan Amazon sebagai syarikat seumpamanya yang paling berharga dunia.

Bagaimanapun, aktivis alam sekitar menuduh Alibaba dan syarikat lain seumpamanya mewujudkan budaya pembelian berlebihan selain meningkatkan bahan buangan.

Greenpeace mendakwa penghantaran untuk Hari Bujang tahun lalu saja mengakibatkan 130,000 tan bahan buangan akibat pembungkusan dengan kurang 10 peratus daripadanya dikitar semula.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2017 @ 6:05 AM