PELAJAR program menyanyikan lagu Negaraku sebelum memulakan kelas.
PELAJAR program menyanyikan lagu Negaraku sebelum memulakan kelas.
Roslan Ibrahim


Kes pencemaran yang berlaku di Malaysia mutakhir ini memberi isyarat bahayanya jika ilmu mengenai alam sekitar tidak dipelajari generasi muda. Akibatnya mereka gagal melaksanakan tanggung- jawab memelihara bumi ini daripada sebarang kerosakan yang boleh memudarat dan mengancam nyawa.

Menyedari pentingnya ilmu mengenai hutan, sungai, hidupan liar dan bumi, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) terpanggil untuk berkongsi ilmu mengenai alam semula jadi dengan generasi muda melalui program Nature U.

Penyelaras Projek Nature U, Noorliza Abu Bakar berkata, Nest mahu berkongsi kepakaran dan ilmu mengenai alam sekitar terutama hutan, tanah, air dan muka bumi yang indah termasuk burung serta hidupan lain.

“Inilah khazanah yang kita perlu pelihara kerana jika manusia rakus meneroka alam sekitar tanpa sekatan, ia akan memberi kemudaratan dan bahaya kepada generasi masa depan.

“Lihat apa yang berlaku kepada kebanyakan negara di Afrika, hutan menjadi kontang dan muka bumi tercemar sehingga mengancam hidupan haiwan. Ini yang kami mahu generasi muda di negara ini tahu supaya perkara seumpama itu tidak berlaku di sini,” katanya.

HAZLIN Hazmi bersama anaknya.
HAZLIN Hazmi bersama anaknya.

Beliau yang juga Setiausaha NEST bangga kerana program Nature U mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pelajar berusia di antara 7 hingga 17 tahun malah ramai ibu bapa turut hadir untuk melihat sendiri perjalanan program itu.

“Seramai 43 pelajar mengambil bahagian dalam program Nature U di Taman Tugu, Kuala Lumpur dan mereka diajar mengenai kepentingan menjaga alam semula jadi, hutan, bumi dan hidupan seperti burung.

“Kami memberi pembelajaran secara santai kerana ia dilakukan di luar bilik darjah selain membabitkan tenaga pengajar berwibawa dari universiti tempatan,” katanya.

Berikutan sambutan baik dalam kalangan pelajar dan ibu bapa, NEST bercadang mengadakan program Nature U di seluruh negara dengan mengekalkan format dan kandungan pembelajaran yang sama iaitu mengenai alam semula jadi.

“Kami bercadang membawa pelajar yang menyertai program Nature U ke Taman Negara dan Hutan Belum supaya mereka dapat melihat sendiri apa yang diajar, secara tidak langsung konsep pembelajaran yang diterapkan lebih berkesan dan tidak menjemukan.

“Ketika di Taman Negara dan Hutan Belum, kami akan membawa mereka melihat pelbagai flora dan fauna, sungai dan penghuni yang berkongsi alam semula jadi untuk kehidupan seperti masyarakat Orang Asli.

“Tanpa hutan dan haiwan, alam semula jadi akan mati malah beberapa spesies binatang mungkin pupus jika kita tidak menjaga alam
sekitar,” katanya.

Sementara itu, seorang ibu yang menghantar anaknya mengikuti program ini, Hazlin Zami berkata, program Nature U bagus untuk memberi kefahaman dan ilmu kepada generasi muda kepentingan menjaga alam sekitar.

Dia yang mempunyai empat anak berusia antara tiga hingga 17 tahun memberi pendidikan sendiri di rumah dan menyertai program itu untuk memastikan anaknya mendapat ilmu pengetahuan tambahan yang boleh digunakan apabila dewasa.

“Kita sebahagian daripada alam semula jadi, jadi perlu untuk membantu antara satu sama lain kerana tanpa flora dan fauna, dunia akan menjadi kering kontang.

“Beliau yang pernah menetap di Kanada selama beberapa tahun mengakui program seumpama itu sudah biasa di Barat, malah pelajar diberi pendedahan mengenai alam sekitar sejak dari kecil.

“Saya berharap program Nature U dapat diadakan di seluruh negara kerana ia memberi banyak manfaat kepada generasi muda memandangkan ia menerapkan pendidikan luar kelas berbanding di sekolah yang banyak menumpukan kepada pembelajaran menggunakan buku,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 11:00 AM