PESERTA mengenali spesies tumbuh-tumbuhan di hutan.
PESERTA mengenali spesies tumbuh-tumbuhan di hutan.
CABARAN melalui laluan licin ketika merentas hutan.
CABARAN melalui laluan licin ketika merentas hutan.
PESERTA merentas hutan dalam kumpulan.
PESERTA merentas hutan dalam kumpulan.
Oleh Hazril Md. Nor

Berpeluang menyertai program yang bertemakan alam sekitar memang menyeronokkan. HAZRIL MDNOR menyokong penuh usaha Resorts World Genting memberikan peluang kepada remaja untuk menghargai alam semula jadi melalui program anjurannya, Genting Back to Nature with Rakan Alam Sekitar.

Seperti yang diketahui, aktiviti lasak dan mencabar seperti futsal, badminton dan sebagainya pasti menjadi pilihan setiap remaja yang gemarkan sukan ekstrem.

Tetapi, penulis percaya dengan adanya aktiviti yang lebih menitikberatkan kepentingan penjagaan alam sekitar dan menilai sendiri khazanah alam yang sedia ada, remaja berpeluang menjadi lebih peka dalam aspek pemuliharaan alam sekitar selain berkesempatan mencabar diri dari segi fizikal dan mental dan memperoleh ilmu pengetahuan mengenai flora dan fauna yang tidak terbilang spesiesnya di Malaysia.

Pada 7 dan 8 November lalu, penulis berpeluang merasai sendiri pengalaman menyertai program Genting Back to Nature with Rakan Alam Sekitar anjuran Resorts World Genting bersama lebih 100 pelajar dari tiga sekolah terpilih.

Pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Karak, Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Sertik, Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Melawati bersama 25 pembaca terpilih Harian Metro antara individu bertuah yang berpeluang menyertai program itu.

Program alam sekitar yang juga mendapat kerjasama Harian Metro ini diadakan selama dua hari satu malam dan dipenuhi dengan aktiviti menyeronokkan.

Ia memberi peluang kepada anak muda berusia antara 13 hingga 17 tahun bersaing secara sihat melalui pelbagai aktiviti seperti kitar semula barang terpakai, meneroka hutan yang berusia jutaan tahun dan juga pelbagai aktiviti lain yang menjadi pemangkin semangat remaja untuk terus memelihara alam semula jadi.

Aktiviti 'jungle trekking' sudah tentunya tergolong dalam aktiviti yang paling mencabar serta menarik minat peserta yang menyertainya.

Mengikuti aktiviti itu, pengalaman penulis merasai sendiri debaran memasuki hutan bersama ahli rakan alam sekitar yang lain dan menikmati perjalanan yang penuh dengan halangan mencabar sejauh 1.8 kilometer sememangnya menyimpan seribu satu kenangan yang tidak mudah luput daripada ingatan.

Pada masa sama, penulis mengambil kesempatan menemu bual dua anak muda masing-masing berusia 16 dan 17 tahun untuk berkongsi pengalaman mereka sepanjang menyertai aktiviti 'jungle trekking' yang paling diminati setiap peserta yang menyertai program itu.

Dapat ilmu pengetahuan

Peserta, Nur Afiqah Ahmad Tajuddin, 16, mengakui sangat bertuah kerana terpilih untuk menyertai program alam sekitar ini.

Katanya, aktiviti seperti 'jungle trekking' adalah yang paling menarik dan mencabar berbanding aktiviti lain yang lebih menitikberatkan idea kreatif melalui perbincangan berkumpulan.

"Sebelum ini, pihak sekolah ada menganjurkan aktiviti sebegini, tetapi ternyata pengalaman meneroka hutan di Awana Genting ini sememangnya mencabar dan mendidik saya untuk menjadi lebih berhati-hati ketika berada di dalam hutan.

"Perjalanan sejauh 1.8 kilometer cukup mencabar bagi saya, ditambah lagi dengan cuaca yang tidak begitu menyebelahi menyebabkan saya dan ahli kumpulan terpaksa perlahankan langkah meredah hutan itu. Pada pendapat saya, bukan semua orang berpeluang dan cukup berani menyertai aktiviti sebegini, justeru, ia adalah suatu pengalaman berharga yang tak dapat dilupakan.

"Kalau nak diikutkan, kami dalam satu pasukan bertuah kerana dapat mempelajari serba sedikit mengenai spesies flora dan fauna dalam belukar jutaan tahun itu. Justeru, pengalaman menyertai 'jungle trekking', baru-baru ini memberi saya peluang untuk melihat sendiri spesies flora dan fauna itu yang dulunya hanya dipelajari di sekolah," katanya.

Menurutnya, sepanjang perjalanan meredah hutan itu, macam-macam halangan berbahaya perlu diharungi seperti jalan sempit dan licin, pohon berduri selain cabaran iaitu setiap peserta perlu berpaut pada tembok batu untuk meneruskan perjalanan.

"Bagi saya, ia mencabar dan pada masa sama berbaloi untuk dicuba," katanya.

Gemar aktiviti mencabar

Lain pula bagi Mohammad Fathul Syahmi Abdul Rasyid, 17, yang menggemari aktiviti lasak di hutan selepas menyertai program anjuran Resorts World Genting ini.

Menurutnya, dia hanya memasuki program ini sekadar suka-suka saja, namun kepuasan dan cabaran sepanjang program itu mengubah perspektifnya secara menyeluruh.

"Memang seronok kalau dapat luangkan masa seketika meninjau khazanah alam yang terpelihara, justeru, mengalihkan fikiran seketika daripada kesibukan di ibu kota," kata­nya.

Malah, katanya, sepanjang menyertai aktiviti lasak seperti 'jungle trekking' di sini, macam-macam yang dipelajari dan paling seronok dapat bertemu rakan baru yang datang dari tempat berbeza.

"Kalau nak diikutkan, saya tidak suka pun aktiviti lasak sebegini tapi selepas merasai sendiri halangan mencabar dan berbahaya, terasa pula ingin sertai sekali lagi program sebegini," katanya.

Mohammad Fathul berkata, dalam hutan yang mengandungi pelbagai flora dan fauna itu, memang perlu berhati-hati sentiasa, tambahan lagi apabila cuaca buruk.

Menurutnya, ketika berada dalam hutan, sikap tolong-menolong antara satu sama lain perlu diterapkan dalam diri kerana aktiviti ini memang menitikberatkan semangat kesukanan yang tinggi.

"Ditambah lagi dengan cabaran merentasi jalan sempit dan juga licin, setiap ahli pasukan harus bertolak ansur dan menolong rakan lain yang ketinggalan di belakang," kata­nya.

Perlu berhati-hati

Penulis juga sempat menemu bual pemandu pelancong alam semula jadi, M Viveggaran, 24, yang memberikan tip berguna kepada pelajar mengenai cara menjaga keselamatan ketika berada di dalam hutan.

Katanya, peserta perlu mengenakan pakaian yang sesuai, perlu berhati-hati dan sentiasa mengikut arahan daripada fasilitator.

"Ketika berada di dalam hutan, harus memakai pakaian yang sesuai dengan aktiviti. Contohnya, peserta tak boleh memakai selipar kerana dikhuatiri jalan licin.

"Bukan itu saja, mereka juga harus menitikberatkan keselamatan seperti memakai seluar trek panjang dan sarungkan sehingga ke dalam stoking untuk mengelakkan daripada digigit serangga seperti pacat atau lintah. Untuk keselamatan sepenuhnya, perlulah memakai kasut dan selalu membawa 'first aid kit' yang diperlukan pada saat kecemasan.

Selain itu, katanya, etika pemakaian perlu dipatuhi, mental dan fizikal juga perlu turut sama berada dalam keadaan sihat. Dari segi fizikal, setiap peserta harus membuat senaman ringkas sebelum masuk ke dalam hutan.

Menurutnya, mereka juga perlu ada tenaga dan tidak lapar ketika melakukan aktiviti 'jungle trekking'.

"Akhir sekali, yang perlu diberi perhatian ialah penekanan dari segi mental di mana setiap individu perlu sentiasa tenang dan tidak boleh pentingkan diri sendiri semata-mata. Mereka harus sentiasa bantu-membantu ahli pasukan mengharungi setiap halangan sehingga selesai keluar dari hutan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 November 2014 @ 5:01 AM