SUASANA dalam studio.
SUASANA dalam studio.
HM Digital

DALAM menangani krisis pandemik Covid-19, institusi pengajian tinggi (IPT) tidak terlepas daripada menyesuaikan suasana kerja mengikut norma dan kelaziman baharu.

Ia antara cabaran luar biasa yang perlu diselesaikan terutama pengurusan kepemimpinan tertinggi untuk mewujudkan suasana terkawal dengan memperhalusi pelan tindakan.

Cabaran agak kritikal juga menyebabkan universiti perlu mengubah corak dan strategi untuk menambah kemasukan pelajar tempatan serta antarabangsa.

Apabila negara dilanda Covid-19, pendaftaran penuntut untuk belajar secara bersemuka terutama dari luar negara turut terganggu. Dikhuatiri jumlah pengambilan pelajar juga turut menurun.

Oleh itu, Fakulti Pengurusan dan Muamalah (FPM), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) memperkasa pelbagai idea dan strategi baharu dalam meningkatkan lagi jumlah kemasukan pelajar.

Pensyarah Jabatan Bahasa Inggeris dan Komunikasi FPM Dr Hazlin Falina Rosli berkata, jika dilihat trend promosi sebelum ini, ia dilakukan secara konvensional melalui pameran pendidikan, karnival, lawatan ke sekolah dan ekspo menjadi medium utama untuk bertemu prospek pelajar secara fizikal.

DR Hazlin (duduk dua dari kanan) bersama pelajar Ijazah Sarjana Komunikasi.
DR Hazlin (duduk dua dari kanan) bersama pelajar Ijazah Sarjana Komunikasi.

Kini, katanya pertemuan di alam maya menjadi pendekatan utama kerana lebih efektif dan trend ini digunakan hampir semua IPT.

"Beberapa platform efisien diguna pakai untuk membantu promosi dalam talian yang memberi peluang kepada orang ramai menggunakan beberapa kaedah seperti pameran, perbualan secara teks, audio dan video serta lawatan maya untuk berinteraksi.

"Kuis juga tidak terkecuali mengadakan Hari Terbuka Secara Maya baru-baru ini bagi memberi ruang dan peluang kepada bakal pelajar untuk bertanyakan soalan mengenai syarat kemasukan, biasiswa serta yuran pada skala lebih luas dan mesra pelajar.

"Melalui platform ini, secara tidak langsung ia mampu menggalakkan pelajar membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dengan meneroka peluang serta kemahiran sama ada secara formal atau sebaliknya," katanya.

Selain berinteraksi dengan bakal pelajar, FPM melihat keperluan mempromosikan program akademik melalui program 'kembara siswa' di sekolah-sekolah akan menjadi perantara universiti dengan bakal pelajar secara maya.

"Sebagai institusi swasta, KUIS peka dengan perubahan persekitaran yang bukan hanya menuntut pembaharuan dalam bentuk fizikal, malah daya pemikiran.

"Beberapa perubahan dasar dalam pengajaran dan pembelajaran juga perlu dirai untuk terus mengukuhkan pembudayaan ilmu serta melestarikan usaha melahirkan lebih ramai cendekiawan dan profesional berlandaskan dai'e, ulamak dan umara," tambah Dr Hazlin Falina.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 6:25 AM