AZLAN Shah bakal bergandingan dengan Adam dan Webb. FOTO Azlan Shah Kamaruzaman
AZLAN Shah bakal bergandingan dengan Adam dan Webb. FOTO Azlan Shah Kamaruzaman
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas kali terakhir beraksi pada 2019, pelumba senior negara, Azlan Shah Kamaruzaman bakal kembali menghangatkan Litar Suzuka menjelang perlumbaan endurance lapan jam yang akan berlangsung Ogos depan.

Juara sulung dalam kelas ASB1000cc di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) pada 2019 itu bakal kembali ke litar berkenaan dari 4 hingga 6 Ogos depan dengan kali ini menyertai pasukan Team Frontier.

Menurut Azlan, dia bakal bergandingan bersama rakan senegara, Adam Norrodin dan pelumba British, Danny Webb dalam kelas Formula EWC dengan menggunakan jentera BMW S1000RR.

"Kali terakhir pada 2019. Perasaan agak gementar juga memandangkan sudah lama tidak beraksi di trek ini selain perlu menunggang model S, model pertama untuk BMW ini," kata Azlan yang sedang mengikuti sesi ujian rasmi bersama pasukan di sana.

Ujarnya, buat masa sekarang dia sedang menguji jentera kerana spesifikasi (perlumbaan) 8 Jam mungkin boleh ubah sedikit dari segi pelarasan.

Selain Azlan dan Adam, turut bakal menyertai edisi ke-44 kali ini adalah Khairul Idham Pawi yang mewakili pasukan Honda Sofukai Suzuka Racing Team bersama dua pelumba dari Jepun, Yuki Sugiyama dan Hane Takumi.

Pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah juga bakal membuat penampilan bersama AutoRace Ube Racing Team yang turut disertai Dan Linfoot dan Takuya Tsuda, menggunakan jentera Suzuki GSX-R1000R.

Honda Asia-Dream Racing with SHOWA pula membariskan juara ASB1000cc ARRC 2022, Zaqhwan Zaidi; juara SuperSports 600cc ARRC 2022, Andy Farid Izdihar dari Indonesia dan Nakarin Athirapwapa (Thailand) dengan menggunakan jentera Honda CBR1000RR-R FIREBLADE.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2023 @ 6:34 PM