Azlan (kanan sekali) bersama ONEXOX TKKR SAG Racing Team. FOTO ARRC
Azlan (kanan sekali) bersama ONEXOX TKKR SAG Racing Team. FOTO ARRC
ARRC

GANDINGAN pelumba berpengalaman negara, Azlan Shah Kamaruzaman bersama Ali Adrian Rusmiputro menjadi taruhan ONEXOX TKKR SAG Racing Team untuk menawan Litar Suzuka, Jepun pada minggu ini.

Menurut Prinsipal Pasukan, Bobie Farid Shamsuddin, saingan di Litar Suzuka, Jepun yang juga pusingan keempat Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) akan menyaksikan penampilan Ali Adrian dalam kategori ASB 1000.

Pelumba dari Indonesia berkenaan bukan nama asing dalam perlumbaan motorsikal berkuasa besar di rantau ini apabila dinamakan sebagai pengganti Farid Badrul Hisham.

“Kami yakin gandingan Ali Adrian dan Azlan Shah mampu memberi saingan yang hebat di Litar Suzuka pada hujung minggu nanti.

“Kejayaan memenangi perlumbaan serta menduduki podium pada saingan di Buriram, Thailand turut menyuntik semangat kepada pasukan untuk berusaha lebih keras kali ini,” katanya.

Menurut Bobie Farid lagi, ONEXOX TKKR SAG Racing Team tidak saja mahu mengharumkan nama negara di pentas ARRC namun melihatnya secara menyeluruh.

"Ini penting bagi mempastikan kami mendapat faedah daripada pengalaman bertanding di peringkat antarabangsa.

Sebagai contoh, dapat membuka ruang kepada bakat tempatan termasuklah pelumba dan teknikal.

"Mereka berpeluang untuk bekerja dengan para profesional yang sudah sekian lama berkecimpung dalam arena perlumbaan.

Ini bakal meninggikan lagi tahap kemahiran bakat tempatan yang boleh mengisi ruang dalam eko-sistem perlumbaan bermotor negara," katanya.

Pusingan keempat ARRC akan menyaksikan persaingan sengit di dalam kategori ASB1000 dengan dua pelumba tuan rumah akan bertanding menggunakan ‘wild card’.

Shinchi Nakatomi adalah pelumba ujian bagi pasukan Yamaha manakala Koji Teramoto akan menggunakan jentera BMW S1000 RR.

Kedua-duanya memiliki kelebihan kerana mereka bukan sahaja mempunyai pengalaman yang luas mengendalikan jentera 1000cc malah juga memahami karektor Litar Suzuka yang sememangnya sangat mencabar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 6:42 PM