AZLAN Shah akan berusaha pada baki dua pusingan musim ini untuk dapatkan podium. FOTO Ihsan Facebook Azlan Shah Kamaruzaman
AZLAN Shah akan berusaha pada baki dua pusingan musim ini untuk dapatkan podium. FOTO Ihsan Facebook Azlan Shah Kamaruzaman
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pelumba berpengalaman negara, Azlan Shah Kamaruzaman mahu memburu gelaran Asia keempat sebelum bersara dari saingan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) sebaik berakhir kempen tahun depan.

Azlan yang juga juara bertahan kelas perdana ASB1000cc di saingan ARRC berkata, sudah tiba masanya untuk dia menumpukan kepada pasukannya sendiri, AS25 Academy Racing Team yang beraksi di Kejuaraan Cub Prix.

Dia yang beraksi bersama pasukan ONEXOX BMW TKKR musim ini, akui impian untuk mempertahankan kejuaraan ASB1000cc pada tahun ini sudah terkubur selepas mengumpul 33 mata untuk berada di tangga ke-10 keseluruhan.

"Cuma tahun ini, kita cuba memperbaiki penyelarasan motosikal, dapatkan data. Saya akan berusaha pada baki dua pusingan musim ini untuk dapatkan podium dan selepas itu, memulakan 'buku baharu' bagi tahun depan.

"Saya harap tahun depan, sekiranya masih dengan pasukan ini, saya akan cuba mendapatkan gelaran juara keseluruhan. Saya akan memberikan tempoh setahun lagi untuk dapatkan gelaran dan selepas itu mengucapkan selamat tinggal kepada ARRC.

"Saya mahu memberikan tumpuan penuh kepada pasukan saya. Jadi impian saya adalah untuk mengejar satu lagi kejuaraan dan selepas itu bersara untuk memberikan fokus kepada pasukan saya sendiri serta membangunkan pelumba muda.

"Masih boleh berjumpa saya di MSBK (Kejuaraan Superbike Malaysia) dan yang lain-lain tetapi bukan di ARRC," katanya.

Azlan mempunyai tiga gelaran di pentas kejuaraan Asia itu dengan meraih dua gelaran dalam kelas SuperSports 600cc pada tahun 2013 dan 2017 sebelum muncul sebagai pelumba pertama menjulang trofi ASB1000cc yang mula diperkenalkan pada 2019.

Pusingan 4 ARRC dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang dari 6 hingga 9 Oktober ini sebelum kemuncak musim 2022 bertempat di Litar Antarabangsa Chang, Thailand pada November.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 3:20 PM