Pelumba Moto2 Belanda, Bo Bendsneyder. FOTO Agensi
Pelumba Moto2 Belanda, Bo Bendsneyder. FOTO Agensi
Hamdan Saaid


Kuala Lumpur: Pelumba Moto2 Belanda, Bo Bendsneyder mencuri tumpuan penonton dan warganet pada sesi latihan bebas pertama Kejuaraan Motosikal Grand Prix Dunia di Litar Misano, Itali semalam.

Pelumba muda berusia 22 tahun itu bertindak mengagumkan apabila berjaya menyelamatkan diri daripada terjatuh ketika melalui selekoh terakhir menuju ke garisan penamat dalam keadaan litar basah disebabkan hujan.

Ada sesetengah pihak menganggap ia sebagai satu situasi terselamat paling menakjubkan dalam sejarah perlumbaan MotoGP-Moto2 kerana dia seolah-olah menafikan graviti menerusi tindakannya itu.

Penonton yang menyaksikan sesi latihan bebas Grand Prix Emilia Romagna berteriak dan bertempik menyaksikan insiden itu ketika pengulas turut teruja sambil menyatakan 'nooooo waaaaay' selain ketawa apabila Bendsneyder selamat mendarat di laluan menuju ke hentian pit.

Jika dalam keadaan biasa, mungkin pelumba Pertamina Mandalika SAG Team yang menunggang jentera Kalex itu sudah pasti terjatuh dan mengalami kecederaan.

Satu ketika seluruh badannya sudah berada di atas jenteranya dengan posisi yang seolah-olah hampir terbaring di udara namun masih berjaya memegang 'handle' jenteranya sebelum mendaratkan kakinya ke sebelah kiri jentera dan menggunakan kakinya untuk membrek.

Pengulas juga berkata, pelumba legenda Randy Mamola pasti berbangga dengan Bendsneyder kerana jaguh disegani dari Amerika Syarikat itu pernah melalui detik mendebarkan seperti itu sepanjang kariernya.

Klip pendek insiden itu di laman Instagram rasmi MotoGP mendapat hampir 500,000 'like' manakala di laman IG Bendsneyder mendapat kira-kira 41,000 'like'.

Bendsneyder sendiri melahirkan rasa leganya dengan insiden itu dan menulis status "terpaksa menukar seluar dalam saya selepas terselamat pada FP1!"

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 2:33 PM