KETUA Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang, Datuk Razlan Razali. Foto ARKIB NSTP
KETUA Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang, Datuk Razlan Razali. Foto ARKIB NSTP
Daripada Sukhairi Thani di Silverstone dan London

 

NAMA bagi pasukan pertama negara dalam kelas MotoGP musim depan adalah PETRONAS Yamaha Sepang Racing manakala Moto2 dan Moto3 adalah PETRONAS Sepang Racing.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Razlan Razali mengumumkan nama berkenaan hari ini selepas satu sidang media bagi mengumumkan PETRONAS sebagai penaja utama bagi ketiga-tiga kelas perlumbaan disertai itu.

Sidang media turut mengumumkan barisan pelumba dengan Moto2 menyaksikan Khairul Idham Pawi yang bersama pasukan IDEMITSU Honda Team Asia ketika ini bakal menggantikan pelumba Finland, Niki Tuuli, musim depan.

Razlan juga mendedahkan kelima-lima senarai pelumba ini menandatangani kontrak selama dua tahun tetapi bergantung kepada prestasi.

"Dua tahun tetapi bergantung kepada prestasi. Sekiranya prestasi seseorang itu tidak bagus dan Khairul nampak lebih baik, tak mustahil yang kita boleh menggantikannya dengan pelumba itu ke (kelas) MotoGP," kata Razlan.

Sementara itu, mengulas tentang pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin yang dikeluarkan daripada pasukan dan akan menyertai Kejuaraan Remaja di Sepanyol (CEV) dalam kelas Moto2, Razlan berkata: "Dia akan bersama pasukan SIC (di CEV).

"Ini bukan bermakna yang semuanya sudah berakhir baginya. Saya faham dia kecewa tetapi saya berharap dia menggunakan insiden ini sebagai motivasi.

"Saya amat bimbang dengan mentaliti atlet Malaysia, apabila terlalu kecewa, susah untuk mereka bangkit. Jadi kami memberikan motivasi kepadanya dan CEV Moto2 adalah kariernya musim depan."

Senarai pelumba musim depan

PETRONAS Yamaha Sepang Racing (MotoGP)

Franco Morbidelli - Itali

Fabio Quartararo - Perancis

PETRONAS Sepang Racing (Moto2 dan Moto3)

Moto2

Khairul Idham Pawi

Moto3

Ayumu Sasaki - Jepun

John McPhee - Scotland

CEV Moto2

Adam Norrodin

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Ogos 2018 @ 8:22 AM