PEMANDU Red Bull, Max Verstappen meraikan kejayaan bermula di petak utama selepas sesi kelayakan Formula Satu GP Styri, hari ini. FOTO AFP
PEMANDU Red Bull, Max Verstappen meraikan kejayaan bermula di petak utama selepas sesi kelayakan Formula Satu GP Styri, hari ini. FOTO AFP
AFP

Spielberg: Pendahulu Kejuaraan Dunia, Max Verstappen dari pasukan Red Bull mencatat masa terpantas di pusingan kelayakan, hari ini untuk bermula di petak depan Grand Prix (GP) Styria.

Pemandu Mercedes, Valterri Bottas muncul kedua terpantas , tetapi tersingkir ke petak kelima berikutan dikenakan tiga penalti kelmarin, menyaksikan rakan sepasukannya, Lewis Hamilton bermula di barisan depan bersama Verstappen.

Pemandu McLaren, Lando Norris mencipta prestasi terbaik hari ini dan mengasak pelumba depan sepanjang masa sebelum menamatkan kedudukan di tempat keempat, yang bermakna dia akan bermula di petak ketiga.

Ia diikuti pemandu kedua Red Bull, Sergio Perez dan pelumba Alphatauris, Pierre Gasly serta Yuki Tsunoda yang dipisahkan pemandu Ferrari, Charles Leclerc di tempat ketujuh.

Fernando Alonso dari Alpine dan Lance Stroll dari Aston Martin melengkapkan 10 pelumba di depan.

Verstappen mempamerkan prestasi cemerlang ketika latihan semalam dan kelihatan sukar digugat apabila dia mencapai petak utama ketiga bagi musim ini, dengan mencatatkan masa terpantas 1 minit 3.841 saat.

"Ia adalah hujung minggu yang baik," kata Verstappen. "Kereta memang selesa dipandu di pusingan kelayakan. Bukan mudah menangani trafik, pusingan kelima pada Q3 sudah memadai di akhirnya."

Bottas pula mencatatkan masa 0.194 saat di belakang Verstappen.

Bagaimanapun, pemandu Finland itu dikenakan penalti kerana memandu dalam keadaan bahaya, semalam dan akan bermula di tempat kelima.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 11:12 PM