AKSI Hafizh di GP Itali. FOTO NTS RW Racing GP
AKSI Hafizh di GP Itali. FOTO NTS RW Racing GP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: "Terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa memberi sokongan dan juga kepada penaja saya tahun ini yang sentiasa percaya dan menyokong saya," kata pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah.

Semalam Hafizh yang bersama pasukan NTS RW Racing GP melakar kejayaan membanggakan apabila menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Itali di Litar Mugello di tempat kesembilan.

Namun Hafizh berkata, ada beberapa perkara yang perlu dipertingkatkan lagi terutama di laluan lurus yang mana menyaksikan dia dipintas oleh Cameron Beaubier di saat akhir.

"Syukur Alhamdulillah dapat tamatkan perlumbaan di tempat kesembilan tapi minit terakhir kena potong di laluan lurus. Saya tahu di laluan lurus agak sukar untuk dapatkan kelajuan dan saya sudah cuba yang terbaik.

"Banyak kali di laluan lurus saya kena potong dengan pelumba lain. Saya cuba untuk dapatkan jarak di selekoh terakhir tapi bila di laluan lurus agak sukar sebab motosikal saya kurang aerodinamik dan kelajuan yang baik," katanya.

Hafizh turut mendedikasikan perlumbaan di Itali itu kepada pelumba Moto3 Switzerland, Jason Dupasquier yang meninggal dunia selepas mengalami kecederaan serius pada sesi kelayakan Grand Prix Itali.

Bermula dari petak ke-20, Hafizh memintas satu demi satu pelumba dan kedudukan terbaik pelumba negara itu adalah di posisi kelapan sebelum dipintas Beaubier.

Hafizh ketinggalan 34.849s di belakang juara Remy Gardner dari pasukan Red Bull KTM Ajo, 39 minit 17.667s.

Pelumba berusia 27 tahun itu kini mengumpul lapan mata dan menduduki tempat ke-21 dalam kedudukan pelumba selepas meraih satu mata berharga di GP Le Mans.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 6:06 PM