Hafizh bersama jenteranya. FOTO Ihsan Aspar
Hafizh bersama jenteranya. FOTO Ihsan Aspar
Saiful Affendy Sapran


HAFIZH Syahrin Abdullah akan memulakan misi untuk kembali memulihkan reputasi sebenarnya apabila akan turun beraksi pada pusingan pembuka tirai Kejohanan Motosikal Dunia di Grand Prix Qatar hujung minggu ini.

Hafizh yang beraksi selama dua musim di kelas perdana MotoGP, kembali ke Moto2 tahun ini selepas melalui prestasi hambar bersama Red Bull KTM Tech 3 musim lalu yang hampir memusnahkan kariernya.

Pelumba pasukan Aspar yang mendapat gelaran El Pescao itu kini memperoleh motivasi baharu dan berharap Qatar akan menjadi detik permulaan kepada kebangkitannya semula.

"Saya menjangkakan perlumbaan yang sangat menarik dan sangat sengit pada minggu ini.

"Saya sememangnya mahu memberi saingan sengit selepas mengharungi sesi ujian. Jentera saya nampaknya mempunyai kepantasan tetapi ia boleh diperbaiki lagi sebelum hari perlumbaan sebenar Ahad ini," katanya.

Hafizh berkata, pasukannya sudah bekerja keras untuk memastikannya memperoleh pakej jentera paling terbaik.

"Kami tidak mempunyai pengalaman menggunakan chasis Speed Up tetapi kami sudah mula dapat memahaminya dan saya jangkakan kami akan lebih kompetitif pada musim ini," katanya.

Oleh kerana barisan pelumba Moto2 dan Moto3 sudah pun berada di Litar Losail, Qatar untuk menjalani sesi ujian jentera, hanya dua perlumbaan itu akan berlangsung dengan perlumbaan kelas MotoGP dibatalkan berikutan penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19).

"Agak malang pelumba MotoGP tidak dapat beraksi di sini. Kami harus menerima situasi semasa ini dan adalah lebih penting untuk mengutamakan keselamatan semua pihak," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2020 @ 11:43 PM