Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman
Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman
Ferzalfie Fauzi dan Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jangan terus menghukum dan berilah peluang kepada penganjur sukan menerusi perbincangan terlebih dahulu jika terdapat perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan Covid-19.

Perkara terbabit disuarakan Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman membabitkan insiden kegagalan orang ramai bersurai mengikut syarat permit dalam satu program yang dianjurkan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini, hingga menyebabkan penganjur program berkenaan dikenakan kompaun sebanyak RM20,000.

Mohd Khairuddin berkata, pihak berkuasa sepatutnya terlebih dahulu berunding secara teliti dengan penganjur sukan supaya mereka dapat perbaiki atau menambahbaik kelemahan yang ada.

Beliau berkata, aktiviti sukan harus diteruskan terutama ketika masyarakat kini lebih cenderung ke arah berkenaan dalam usaha menggalakkan budaya sihat dikalangan mereka.

"Saya mohon pihak berkuasa berunding secara teliti dengan penganjur dan kalau boleh tidak mahu imej sukan dilihat satu perkara yang mencetuskan kekecohan.

"Jika diikutkan, saya tidak bersetuju kalau penganjuran sukan berkenaan dilihat sebagai tak tertib. Saya leih cenderung pada pendekatan jika ada kelemahan panggil, jangan terlalu agresif.

"Namun, jika penganjur tetap mengulangi kesalahan sama, boleh dikenakan tindakan seperti itu dan kepada pihak penganjur patuh kepada garis panduan yang ditetapkan," ketika ditemui media pada Majlis Penyerahan Makanan Tambahan Kepada Atlet dan Bekas Atlet Selangor 2020, semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Azhan Shafriman Hanif memaklumkan bahawa pihaknya hanya sebagai penyedia venue kepada penganjur saja dan segala garis panduan sudah diberikan untuk mereka patuhi.

"Kegagalan mematuhi SOP atau garis panduan yang ditetapkan menyebabkan mereka dikenakan denda RM20,000," katanya.

Terdahulu, penganjur program, MUSC Motorsports mengakui pihaknya gagal melaksanakan acara berkenaan mengikut ketetapan norma baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 8:24 PM