PENGANJUR MUSC SIC Sepang Drag Cars Test & Tune dikompaun RM20,000 kerana melanggar SOP baru-baru ini. FOTO Media sosial
PENGANJUR MUSC SIC Sepang Drag Cars Test & Tune dikompaun RM20,000 kerana melanggar SOP baru-baru ini. FOTO Media sosial
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan memastikan kejadian yang berlaku membabitkan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) ketika penganjuran kejohanan perlumbaan MUSC SIC Sepang Drag Cars Test & Tune 2021 tidak akan berulang.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, pihaknya tidak berhasrat untuk menutup sukan drag kepada orang ramai namun sedang meneliti kembali peraturan syarat kebenaran.

Katanya, beliau sudah mengadakan perbincangan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Pesuruhjaya Sukan (PJS) serta mereka yang terbabit dalam sukan itu dalam misi untuk meningkatkan tahap kesedaran terhadap pematuhan SOP.

"Beberapa langkah sudah dikenal pasti dan antaranya memperketatkan kawalan SOP dan pertambahan tenaga kerja.

"Perkara itu sudah dibincangkan bersama KBS bagaimana cara kita dapat membantu penganjur ini kerana kita tidak akan tutup drag kepada orang ramai.

"Mereka perlu faham usaha SIC yang bertungkus lumus untuk dapatkan kebenaran dari KKM dan MKN untuk kembali anjurkan sukan permotoran di SIC," katanya.

SIC akan kembali membuka litar dengan penganjuran Siri Perlumbaan Malaysia (MCS) hujung Mei ini dan akan menjadi tuan rumah perlumbaan pembukaan Kejohanan Motosikal Asia (ARRC) pada 1 Jun ini.

Konsep yang sama iaitu gelembung sukan akan diguna pakai oleh penganjur bagi membendung penularan Covid-19.

Bagaimanapun Shafriman meluahkan rasa bimbang dengan keadaan semasa apabila berlaku pertambahan kes Covid-19.

Justeru beliau berharap semua rakyat Malaysia dapat menjaga SOP agar dapat mengurangkan kes bagi mengelakkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilakukan sekali lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 5:53 PM