KHAIRULNIZAM ketika beraksi di Kejohanan Pelayaran Dunia. FOTO ihsan Live Sail Die
KHAIRULNIZAM ketika beraksi di Kejohanan Pelayaran Dunia. FOTO ihsan Live Sail Die
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas menamatkan aksi di Kejohanan Pelayaran Dunia di The Hague, Belanda, kelmarin, atlet negara, Khairulnizam Afendy tidak sabar untuk memperagakan aksi terbaik di Sukan Asia Hangzhou, bulan depan.

Dia yang memenangi pingat perak dua kali berturut-turut di temasya itu mengakui sudah bersedia untuk sekurang-kurangnya menaiki podium sekali lagi, walaupun sedar bakal berdepan cabaran sengit.

"Untuk Sukan Asia kali ini lagi ramai yang akan memberi cabaran. Banyak negara Asia yang bagus seperti India, Singapura, Hong Kong kerana mereka berpangkalan di Eropah hampir dua hingga tiga tahun.

"Selain itu, Korea Selatan dan Thailand diletakkan sebagai pencabar utama," katanya yang menamatkan saingan di kejohanan dunia di tempat ke-48 dalam kelas dinghy lelaki.

Atlet berusia 30 tahun itu sebelum ini meraih perak di Incheon 2014 dan Jakarta-Palembang 2018.

Pada edisi 2018 di Indonesia, Khairulnizam menamatkan perlumbaan kelas laser di tempat kedua dengan mengumpul 23 mata untuk meraih perak manakala pelayar Korea Selatan, Ha Jee Min membawa pulang emas untuk mengekalkan kilauan pingat sama dimenanginya pada 2014 dengan 21.8 mata.

Gangsa pula dimenangi pelayar Singapura, Ryan Lo yang turut mengumpul mata sama dengan Khairulnizam.

Ditanya mengenai pemburuan slot ke Sukan Olimpik Paris 2024, dia yang pernah melayakkan diri di temasya sama di London 2012, Rio 2016 dan Tokyo 2020 berkata, pemenang emas di Hangzhou bakal meraih satu slot ke Perancis, tahun depan, namun peluang untuk mendapatkan slot di kejohanan lain masih terbuka sehingga tahun depan.

"Di Sukan Asia ada satu slot dan Kejohanan Asia pada Disember (di Thailand), ada dua lagi slot untuk benua Asia.

"Pada Januari tahun depan, ada kejohanan dunia yang menawarkan tujuh slot lagi dan akhir sekali pada April, ada tiga slot," katanya yang bakal menyertai kelas ILCA7 di Hangzhou nanti.

Sukan pelayaran dijadual membuka tirainya dari 20 hingga 27 September ini di Pusat Pelayaran Ningbo Xiangshan dengan menawarkan 14 pingat emas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2023 @ 12:30 PM