KEADAAN di dalam lapangan terbang Dubai ketika banjir melanda luar persekitaran kawasan itu. FOTO AFP
KEADAAN di dalam lapangan terbang Dubai ketika banjir melanda luar persekitaran kawasan itu. FOTO AFP
AFP

New Delhi: Dua atlet gusti terkemuka India telah 'tidur di atas lantai' di lapangan terbang Dubai selepas hujan lebat menyebabkan kawasan berkenaan dilanda banjir, lapor media India.

Akhbar Indian Express berkata, calon untuk layak ke Olimpik Paris, Deepak Punia dan rakannya, Sujeet Kalkal terperangkap di lapangan terbang sejak Selasa lalu ketika dalam perjalanan ke Bishkek untuk Kejohanan Kelayakan Olimpik Asia.

Puluhan penerbangan ditangguhkan, dibatalkan atau dipinda waktu semasa hujan lebat Selasa lalu, apabila pesawat dilihat mengharungi air di landasan yang tenggelam.

Bapa Kalkal berkata, atlet berkenaan berharap untuk menaiki penerbangan dari Dubai lewat hari ini untuk tiba tepat pada masanya bagi pertarungan mereka, yang dijadualkan di Bishkek esok

"Mereka tidur di atas lantai terminal dan tidak dapat makan makanan yang betul. Mereka berada dalam keadaan yang teruk," kata Kalkal Dayanand.

Operasi menjadi perlahan di lapangan terbang Dubai, yang sepatutnya paling sibuk di dunia mengikut trafik antarabangsa, kerana kakitangan tidak dapat tiba awal disebabkan jalan raya ditenggelami air dan kebanyakan pengangkutan awam mengalami gangguan.

Dengan hampir setiap penerbangan berulang kali ditangguhkan, penumpang diberitahu untuk membatalkan penerbangan 'melainkan benar-benar perlu' kata Lapangan Terbang Dubai.

Emirates, syarikat penerbangan utama Dubai, membatalkan semua daftar masuk.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 11:17 PM