FADZLI percaya komitmen tinggi atlet terutama barisan kejurulatihan mampu meletakkan kedudukan terbaik buat kontinjen Pahang.  FOTO Ihsan Fadzli Mohamad Kamal
FADZLI percaya komitmen tinggi atlet terutama barisan kejurulatihan mampu meletakkan kedudukan terbaik buat kontinjen Pahang. FOTO Ihsan Fadzli Mohamad Kamal
Asrol Awang


Kuantan: Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal mahu komitmen dan prestasi atlet Sukan Malaysia (Sukma) Pahang dipertingkatkan menjelang temasya sukan yang dijadualkan berlangsung di Sarawak, Ogos depan.

Katanya, berdasarkan pemantauan dan turut menyaksikan sendiri latihan membabitkan 20 acara sukan setakat ini, atlet yang akan menggalas tanggungjawab mengibarkan bendera Pahang itu diharap berada pada prestasi terbaik.

"Sebenarnya saya sendiri turun padang untuk melihat sendiri persiapan atlet membabitkan 20 acara sukan tetapi secara peribadi masih belum berpuas hati.

"Namun saya percaya dengan komitmen tinggi atlet terutama barisan kejurulatihan mampu untuk meletakkan kedudukan yang terbaik buat kontinjen Pahang pada temasya kali ini.

"Ini kerana kerajaan negeri melalui majlis Sukan Pahang (MSP) komited dalam menyalurkan peruntukan dalam mempertingkatkan pencapaian sukan di Pahang.

"Soal kebajikan atlet termasuk jurulatih dan inisiatif yang diberikan menjadi keutamaan kerajaan negeri untuk melonjakkan kembali sukan di Pahang," katanya.

Pada Sukma Sarawak kali ini, Pahang mempertaruhkan 603 atlet, masing-masing 327 lelaki dan 276 wanita.

Dua tahun lalu di Kuala Lumpur, Pahang menamatkan saingan di temasya itu di kedudukan kesembilan daripada 15 kontinjen yang bertanding.

Di temasya itu menyaksikan Pahang mengutip keseluruhan 70 pingat, masing-masing 22 emas, 21 perak dan 27 gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 4:27 PM