FADZLI tegaskan untuk meletakkan pencapaian terbaik kontinjen Pahang iaitu berada di kedudukan lima terbaik. FOTO Ihsan Fadzli Mohamad Kamal
FADZLI tegaskan untuk meletakkan pencapaian terbaik kontinjen Pahang iaitu berada di kedudukan lima terbaik. FOTO Ihsan Fadzli Mohamad Kamal
Asrol Awang


Kuantan: Kerajaan Pahang melalui Majlis Sukan Pahang (MSP) mahu semua persatuan sukan membuktikan komitmen tinggi dalam usaha mencapai sasaran lima kedudukan terbaik pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak yang dijadualkan pada Ogos depan.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, ini kerana kerajaan negeri serius untuk memastikan atlet yang bertanding di Sukma Sarawak beroleh kejayaan membanggakan.

"Kita serius untuk tingkatkan prestasi dan pencapaian atlet pada Sukma Sarawak pada Ogos ini.

"Hasrat ini saya tegaskan pada perjumpaan khas bersama pengurus dan jurulatih semalam untuk meletakkan pencapaian terbaik kontinjen Pahang iaitu berada di kedudukan lima terbaik.

"Pada Sukma 2022 di Kuala Lumpur, kita menduduki tempat kesembilan dan pencapaian lebih baik diharap mampu diterjemahkan oleh atlet di Sarawak nanti," katanya.

Pada Sukma 2022, Pahang menamatkan saingan di temasya itu di kedudukan kesembilan daripada 15 kontinjen yang bertanding.

Di temasya itu menyaksikan Pahang mengutip keseluruhan 70 pingat, masing-masing 22 emas, 21 perak dan 27 gangsa.

Pada Sukma Sarawak kali ini, Pahang mempertaruhkan 603 atlet, masing-masing 327 lelaki dan 276 wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 April 2024 @ 4:46 PM