ALCARAZ membalas pukulan Marozsan sebelum mengesahkan kemenangan dan mara ke suku akhir Indian Wells. FOTO AFP
ALCARAZ membalas pukulan Marozsan sebelum mengesahkan kemenangan dan mara ke suku akhir Indian Wells. FOTO AFP
AFP

Indian Wells, Amerika Syarikat (AS): Juara bertahan, Carlos Alcaraz mara ke suku akhir Masters Indian Wells apabila membalas dendam ke atas Fabian Marozsan, 6-3, 6-3, hari ini.

Bintang muda Sepanyol itu ada hutang perlu dilunaskan dengan pemain Hungary yang menduduki ranking ke-58 dunia itu selepas dia tewas dalam pertemuan tunggal mereka di Masters Rom, tahun lalu.

Alcaraz langsung tidak memberi peluang kepada lawannya pada pertarungan pusingan keempat itu.

Selepas bermula agak perlahan pada musim ini dan mengalami kecederaan buku lali beberapa minggu lalu di Brazil, pemain berusia 20 tahun itu kini berada pada landasan tepat untuk meraih gelaran kedua kejohanan.

"Saya agak gementar sebelum perlawanan, saya tidak mahu menipu," kata Alcaraz.

"Saya bermain menentang seseorang yang pernah menewaskan saya ketika saya tidak berpeluang di Rom.

"Ia memang sukar, tetapi saya gembira dengan apa yang dilakukan. Saya tahu apa yang perlu dilakukan dan tidak berbuat demikian sebelum ini.

"Saya bermain dengan hebat pada set pertama dan terus mengasak pada set kedua. Saya mahu terus menambah mata dengan segera dan memenangi perlawanan."

Pemain di ranking kedua dunia itu melengkapkan kemenangan ke-50 dalam Masters hasil kemenangan itu dan yang kesembilan berturut-turut di Indian Wells.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2024 @ 9:17 AM