ALCARAZ bakal berdepan Djokovic dalam separuh akhir Terbuka Madrid. FOTO Reuters
ALCARAZ bakal berdepan Djokovic dalam separuh akhir Terbuka Madrid. FOTO Reuters
Reuters

Madrid: Pemain tenis remaja Carlos Alcaraz menang 6-2, 1-6, 6-3 ke atas Rafa Nadal dalam pertembungan dua generasi Sepanyol di Terbuka Madrid.

Alcaraz meraih kemenangan pertama ke atas pemain pujaannya dan mara ke separuh akhir berdepan jaguh nombor satu dunia, Novak Djokovic.

Dalam aksi di Stadium Manolo Santana itu Alcaraz menjadi pemain Sepanyol pertama yang menewaskan Nadal sejak Fernando Verdasco di Terbuka Australia 2016.

"Ia amat bermakna buat saya. Semua kerja keras yang saya lakukan setiap hari membuahkan hasil. Untuk menewaskan Rafa - pemain terbaik dalam sejarah di tanah liat - ia amat bermakna," kata Alcaraz.

Alcaraz mengalami kekalahan straight set kepada Nadal di Madrid tahun lalu pada hari lahirnya yang ke-18, hanya memenangi tiga permainan ketika turun sebagai pemain wildcard dan berada di ranking ke-120.

Pasangan itu bertemu semula pada Mac lalu di separuh akhir Indian Wells di mana Nadal menang dalam aksi tiga set tetapi ia sebelum Alcaraz mempamerkan potensi besarnya.

Sehari selepas berusia 19 tahun, dia akhirnya membalas dendam terhadap rakan senegaranya yang berusia 35 tahun itu.

Alcaraz mendominasi set pembukaan dan berjaya meraih kemenangan namun di set kedua dia mengalami kecederaan buku lali.

Nadal mengambil kesempatan di atas kecederaan yang dialami rakan senegaranya itu dan kelihatan untuk membawa momentum berkenaan ke set penentuan.

Bagaimanapun, Alcaraz menemui semula sentuhannya dan berjaya bertahan untuk mengatasi cabaran juara Grand Slam sebanyak 21 kali itu.

"Kekalahan di set kedua memang banyak memberi kesan kepada saya. Apabila saya tumpas di set kedua saya ke bilik air dan merasakan mampu untuk bangkit bagi memberikan yang terbaik dan cuba segala-galanya.

"Saya sentiasa mahu bersaing sehingga ke mata terakhir dan itulah kunci kemenangan saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2022 @ 9:25 AM