Reaksi gembira pemain Sepanyol, Carlos Alcaraz selepas berjaya menewaskan Andy Murray di Vienna, Austria. FOTO AFP
Reaksi gembira pemain Sepanyol, Carlos Alcaraz selepas berjaya menewaskan Andy Murray di Vienna, Austria. FOTO AFP
AFP

Vienna: Pemain remaja Sepanyol, Carlos Alcaraz membalas dendam kekalahan di Indian Wells kepada Andy Murray untuk mara ke suku akhir acara ATP dekat Vienna.

Alcaraz, 16 tahun lebih muda daripada bekas pemain nombor satu dunia dan juara utama tiga kali, Murray melakar kemenangan 6-3, 6-4.

"Bagi saya ia perasaan yang hebat untuk beraksi menentang Andy Murray dan berjaya menewaskannya," kata Alcaraz.

"Saya beraksi sangat baik dan saya sangat gembira dengan persembahan hari ini."

Bulan lalu, Murray yang kini di ranking 156 dunia, menewaskan lawannya itu yang berada di ranking 42 dalam permainan tiga set pada pusingan kedua kejohanan Masters dekat California.

"Indian Wells adalah aksi pertama kali saya berdepan Andy di gelanggang dan sekarang saya tahu serba sedikit, saya baru mengetahui permainannya, bagaimana dia bermain." kata Alcaraz.

Pemain muda Sepanyol itu akan berdepan sama ada pemain pilihan ketiga yang juga naib juara Wimbledon, Matteo Berrettini atau Nikoloz Basilashvili dari Georgia untuk tempat ke separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 10:32 AM