GARCIA gembira selepas dinobatkan  Pemain Golf Terbaik Jelajah Eropah buat pertama kali.
GARCIA gembira selepas dinobatkan Pemain Golf Terbaik Jelajah Eropah buat pertama kali.
Reuters

LONDON: Juara Masters Amerika Syarikat (AS) Sergio Garcia dinamakan Pemain Golf Terbaik Jelajah Eropah buat pertama kali, semalam.

Anugerah berkenaan melengkapkan tahun cemerlangnya selepas dia turut memenangi gelaran di Dubai Desert Classic dan Masters Andalucia Valderrama.

Pemain berusia 37 tahun itu yang menewaskan jaguh Inggeris, Justin Rose dalam aksi playoff untuk memenangi gelaran utama pertamanya di Augusta pada April lalu adalah pemain Sepanyol ketiga menerima anugerah berkenaan selepas Seve Ballesteros dan Jose Maria Olazabal.

“Ia adalah penghormatan yang luar biasa,” kata Garcia menerusi siaran berita. “Saya fikir kedua-duanya, di dalam dan luar lapangan golf ia adalah tahun yang unik dan sukar dipercayai, dan sesuatu yang akan diingati sepanjang hidup saya.

“Saya amat gembira untuk menerima anugerah ini, menewaskan pemain-pemain berkaliber yang juga menjadi antara calon, ia menakjubkan.

“Tommy (Fleetwood), Justin, Tyrrell (Hatton) dan Jon (Rahm) kesemua meraka adalah pemain yang menakjubkan, dan mereka juga mengharungi tahun yang menakjubkan.”

Garcia yang menamatkan saingan di tangga keempat Ranking Race to Dubai memenangi gelaran Jelajah Eropah pertamanya dalam tempoh tiga tahun selepas menamatkan saingan tiga pukulan di depan Henrik Stenson di Dubai Desert Classic pada Februari.

Dua bulan kemudian, dia memenangi gelaran ke-13 Jelajah Eropah dalam karienya di Augusta sebelum memenangi Masters Andalucia Valderrama, kejohanan yang dianjurkan oleh yayasannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 1:16 AM