CHEONG Min menahan sebak selepas memenangi pingat Perak pada acara akhir Nanquan dan Nandao Wanita di pusat sukan Xiaoshan Guali, semalam. FOTO BERNAMA
CHEONG Min menahan sebak selepas memenangi pingat Perak pada acara akhir Nanquan dan Nandao Wanita di pusat sukan Xiaoshan Guali, semalam. FOTO BERNAMA
Syafiq Aznan


Hangzhou: Di sebalik kejayaan merangkul pingat perak pertama buat negara di Sukan Asia 2022, ratu wushu negara, Tan Cheong Min mengakui pernah berdepan detik sukar dalam kariernya selepas gagal meraih podium pada temasya 2018 di Indonesia.

Atlet berusia 25 tahun itu berkata, kekecewaan di Jakarta-Palembang itu yang menyaksikan dia berdepan penolakan mata turut 'berjangkit' ketika dia bertanding dalam Sukma beberapa minggu selepas pulang dari temasya itu.

"Itu antara detik terendah dalam hidup saya di mana saya sebagai atlet senior tewas kepada junior kerana penolakan mata. Jadi ia memberikan tekanan kerana sebagai atlet senior, saya berterusan ditolak mata.

"Situasi ini begitu sukar sehingga saya memerlukan tempoh sebulan untuk kembali mendapatkan prestasi saya," katanya ketika ditemui di Pusat Sukan Xiashon Guali, semalam.

Terdahulu, Cheong Min menamatkan kemarau 13 tahun tanpa pingat untuk kem wushu dalam temasya Sukan Asia apabila meraih pingat perak dalam acara gabungan nanquan dan nandao, kelmarin.

Juara dunia 2019 itu memperaga persembahan bertenaga untuk menamatkan saingan di tangga kedua secara keseluruhan dengan 19.419 mata di belakang atlet tuan rumah, Chen Huiying yang merangkul pingat emas dengan 19.590 mata.

Dalam perkembangan sama, atlet kelahiran Melaka itu menyifatkan pencapaian di Hangzhou terus meningkatkan lagi 'bar' keyakinannya bagi menghadapi dua lagi pertandingan yang akan berlangsung selepas ini.

Dua pertandingan yang bakal menanti atlet kecil molek itu adalah Kejohanan Kombat Dunia yang akan berlangsung di Arab Saudi, bulan depan sebelum Kejohanan Dunia Wushu di Amerika Syarikat (AS) pada November.

"Saya akan terus berusaha keras kerana akan menyertai dua lagi pertandingan selepas ini. Sudah tentu ini (pingat perak Sukan Asia) menambahkan lagi keyakinan saya.

"Dengan acara gabungan yang bakal disertai dan berjaya melakukannya tanpa sebarang penolakan mata di sini, ia akan membantu saya dalam dua kejohanan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 2:31 PM