JASON Loo (kanan) FOTO MSN
JASON Loo (kanan) FOTO MSN
Syafiq Aznan

Hangzhou: Atlet taekwondo negara, Jason Loo mengakui dia mengutip pengalaman berharga pada penampilan pertamanya di Sukan Asia 2022 sekalipun pulang dengan tangan kosong.

Bertanding bagi acara poomsae individu lelaki, impian Jason meneruskan kemaraan ke separuh akhir lebur apabila catatan 108.5 mata yang dilakukan tidak cukup untuk memintas atlet dari Taiwan, Ma Yun Zhong dengan catatan 111.1 mata.

Sebelum itu pada saingan di Pusat Budaya Sukan dan Pameran Lin'An, Jason mengesahkan slot ke suku akhir apabila menyingkiran atlet dari Macau, Tong Hou Pan dengan catatan 110.2 mata.

"Keputusan di suku akhir adalah tidak dapat dijangka. Walaupun saya mahu berjuang sehingga ke final tetapi saya yakin sudah melakukan yang terbaik di Sukan Asia.

"Tiada apa yang perlu saya kesalkan dengan persembahan saya. Ini penampilan pertama saya di Sukan Asia dan ia memberikan pengalaman yang baik buat saya," kata atlet berusia 22 tahun itu.

Dalam masa sama, Jason turut bertekad untuk bangkit dan terus memperbaiki kelemahan dalam misi untuk terus menjadi bertambah mantap pada masa akan datang.

"Ini bukanlah pengakhirannya kerana saya akan terus berlatih dengan bersungguh-sungguh dan bangkit dengan lebih kuat.

"Selain itu, saya perlu fokus untuk mengharungi pertandingan yang akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 7:39 PM