DJOKOVIC berjaya muncul juara Terbuka AS 2023 dan gelaran Grand Slam yang ke-24. FOTO AFP
DJOKOVIC berjaya muncul juara Terbuka AS 2023 dan gelaran Grand Slam yang ke-24. FOTO AFP
AFP

New York: Novak Djokovic menewaskan Daniil Medvedev dengan keputusan straight set untuk memenangi Terbuka Amerika Syarikat (AS) buat kali keempat dan gelaran perseorangan Grand Slam ke-24.

Djokovic menebus kekalahannya kepada pemain Rusia itu pada final dua tahun lalu.

Dia yang berusia 36 tahun menang 6-3, 7-6 (7/5), 6-3 untuk menjadi juara lelaki tertua di New York dalam era Terbuka dan menyamai rekod sepanjang zaman, Margaret Court paling banyak meraih Grand Slam .

"Saya tak tahu nak mula dari mana. Ia jelas sangat bermakna buat saya," kata Djokovic, memakai jaket putih dengan tertera nombor 24 di dadanya semasa penyampaian trofi.

"Sukar untuk digambarkan. Saya benar-benar menyelami impian zaman kanak-kanak saya untuk bersaing di peringkat tertinggi dalam sukan ini."

"Saya tidak pernah membayangkan akan berada di sini bercakap mengenai 24 Grand Slam."

Bintang Serbia itu adalah pemain lelaki pertama memenangi tiga Grand Slam pada musim yang sama sebanyak empat kali, selain membolehkannya kembali menjadi pemain nombor satu dunia dengan cara yang paling sesuai di dalam Stadium Arthur Ashe.

Kemenangan itu menambahkan lagi kejayaannya selepas meraih Terbuka Australia dan Perancis, dengan satu-satunya gelaran dilepaskan adalah ketika kekalahan lima set kepada Carlos Alcaraz dalam perlawanan akhir Wimbledon Julai lalu.

"Pertama sekali saya ingin bertanya kepada Novak: Apa yang awak masih buat di sini?," sindir Medvedev, yang dikalahkan buat kali keempat dalam lima perlawanan akhir Grand Slam.

"Saya tidak tahu bila awak bercadang untuk perlahan sedikit," kata Medvedev yang menewaskan Djokovic straight set pada final 2021 untuk menghalang pemain Serbia itu daripada menjadi pemain pertama memenangi kesemua empat Grand Slam pada tahun sama sejak Rod Laver pada 1969.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2023 @ 8:51 AM