NOVAK Djokovic. FOTO Agensi
NOVAK Djokovic. FOTO Agensi
AFP

New York: Novak Djokovic berpeluang membalas dendam ke atas pemain nombor satu dunia, Carlos Alcaraz apabila Djokovic mara ke final Terbuka Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, Alcaraz perlu melepasi halangan separuh akhir terlebih dulu yang akan berdepan Daniil Medvedev namun pemain Sepanyol itu dijangka mampu mara ke final untuk menempuh pertemuan impian menentang Djokovic.

Terdahulu Djokovic, 36, menamatkan perjuangan pemain impian AS, Ben Shelton dengan kemenangan 6-3, 6-2, 7-6 (7/4) sekali gus berpeluang menyamai rekod 24 gelaran Grand Slam.

"Satu lagi final Grand Slam. Saya amat gembira dengan kedudukan saya sekarang. Saya menjangkakan perlawanan paling sukar untuk saya, tidak kira siapa yang berada di hadapan," kata Djokovic yang meraikan kemenangan ke-100 di Terbuka AS.

"Ini perlawanan separuh akhir yang sengit selepas Shelton memberi aksi terbaik dan saya gembira untuk mara ke final sekali lagi.

"Impian saya mahu ke final dan ia tercapai. Siapa pun lawan saya di final nanti, saya mahu menamatkannya dengan gelaran," kata pemain kelahiran Serbia itu.

Untuk rekod, Djokovic berpeluang menjadi pemain paling berusia memenangi gelaran perseorangan lelaki di New York dalam era Terbuka, serta menyamai rekod kemenangan terbanyak Margaret Court sepanjang zaman.

Djokovic juga berjaya mara ke final keempat-empat kejohanan major dalam setahun buat kali ketiga. Dia juga akan memburu tiga gelaran Grand Slam dalam semusim buat kali keempat sepanjang kariernya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2023 @ 10:40 AM