BONNIE (tengah) masih ada lagi dua kejohanan penting tahun hadapan iaitu pada Februari ini di Dubai dan di Manchester Mei nanti. FOTO Ihsan World Para Powerlifting
BONNIE (tengah) masih ada lagi dua kejohanan penting tahun hadapan iaitu pada Februari ini di Dubai dan di Manchester Mei nanti. FOTO Ihsan World Para Powerlifting
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Belum masanya untuk jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin mendabik dada biarpun sudah berjaya memecahkan rekod dunia di Kejohanan Powerlifting Para Dunia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) kelmarin.

Tegas Bonnie, tugasnya masih belum selesai dan perjalanannya masih jauh kerana misi dan fokus utama adalah mengekalkan pingat yang diraihnya di temasya Paralimpik Paris 2024 nanti.

Katanya, masih ada lagi dua kejohanan penting tahun hadapan iaitu pada Februari ini di Dubai dan di Manchester Mei nanti.

"Saya tidak tahu dan tidak mahu fikir lagi sama ada layak ke Paris atau tak.

"Kejayaan pecah rekod motivasikan diri untuk terus berjaya pada kejohanan akan datang dan paling penting persediaan ke Paris.

"Sasaran saya selepas ini adalah untuk cuba lagi cipta rekod pada dua kejohanan akan datang di Dubai dan Manchester," katanya.

Terdahulu atlet kelahiran Sarawak itu mencipta sensasi apabila mengangkat bebanan 231kg pada percubaan ketiga untuk mengatasi rekod lama miliknya, 230kg yang dilakukan di Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai ke-11 pada Jun 2021.

Catatan dilakukan Bonnie itu membolehkan dia merangkul pingat emas menewaskan pencabarnya dari Itali, Donato Telesca yang meraih perak dengan angkatan 202kg manakala atlet Uzbekistan, Bekzod Jamilov memenangi gangsa (200kg).

Bonnie mempunyai reputasi cemerlang dalam sukan ini dengan mempunyai beberapa koleksi pingat emas antaranya di Sukan Olimpik Tokyo 2020, Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan Kejohanan Dunia pada 2019 dan 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2023 @ 3:50 PM