BONNIE sertai Sukan Para Asia di Hangzhou.
BONNIE sertai Sukan Para Asia di Hangzhou.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin tidak akan mengambil mudah cabaran pada temasya Sukan Para Asia Hangzhou yang bakal membuka tirai Ahad ini.

Sebaliknya, pemegang rekod dunia berusia 24 tahun itu tetap berwaspada dengan barisan pencabarnya yang mungkin mampu melakukan kejutan dengan atlet Uzbekistan, Bekzod Jamilov dan wakil tuan rumah, China antara pencabar yang perlu diberi perhatian.

"Bagi saya, saya tidak akan memandang rendah kemampuan atlet lain, kita tidak tahu mungkin mereka akan cipta kejutan nanti. Jadi, saya perlu memastikan saya bersedia sepenuhnya dan buat sehabis baik.

"Sasaran saya adalah untuk memenangi emas dan akan buat sehabis baik untuk mencapainya," kata Bonnie yang juga pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Bonnie dilihat berada pada prestasi terbaik untuk menyumbang pingat di Hangzhou selepas meleburkan rekod dunia bagi acara 72 kilogram (kg) di Kejohanan Powerlifting Para Dunia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Ogos lalu.

Dia mengangkat bebanan 231kg pada percubaan ketiga untuk mengatasi rekod lama miliknya, 230kg yang dilakukan ketika Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai ke-11 pada Jun 2021.

Pada tahun lalu, dia turut cemerlang menyumbang emas kepada Malaysia pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Atlet kelahiran Sarawak itu akan turun ke gelanggang bagi memulakan cabaran di Hangzhou pada 25 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2023 @ 4:06 PM