ANTARA atlet IPT yang menyerlah di LTdIPT 2023. FOTO NAZRI ABU BAKAR
ANTARA atlet IPT yang menyerlah di LTdIPT 2023. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: Pasukan Institut Pengajian Tinggi sedia menyertai perlumbaan jelajah berbasikal terunggul Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 sekiranya mendapat jemputan dan pelawaan penganjur jelajah berkenaan.

Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Sukan, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, semuanya terpulang kepada penganjur untuk menilai kemampuan dan keupayaan atlet IPT samada memenuhi kriteria mereka.

Katanya, penyertaan atlet IPT dalam Le Tour de IPT (LTdIPT) 2023 membabitkan 16 pasukan baru-baru ini antara medium untuk mereka menilai selain Varsity Cycling Challenge (VCC) sebelum ini.

Menurutnya, dia melihat terdapat beberapa pelumba yang boleh diketengahkan ke LTdL kali ini selepas LTdIPT menjadi medan buat mereka meningkatkan keupayaan pada saingan kompetitif.

"Secara peribadi saya dapati empat atau lima atlet mempunyai kemampuan untuk diberi peluang walaupun terdapat lebih daripada itu.

"Sekurang-kurangnya kita ada satu team yang boleh menjadi sandaran IPT pada kejohanan sebesar ini sekali gus ruang buat mereka untuk menimba pengalaman bersaing dengan pelumba profesional," katanya.

Baginya apa yang lebih penting bukan sahaja pendedahan kepada atlet malah kepada pegawai pasukan untuk mengurus pasukan pada saingan yang besar.

Pekan berkata, bajet dan kos yang tinggi juga akan diambil kira sebelum menyertai LTdL jika mendapat jemputan kelak.

Bagaimanapun, dia melihat bajet masih mampu ditangani kerana IPT tidak memiliki atlet profesional yang menelan perbelanjaan yang begitu besar.

Antara pasukan yang bakal menyertai LTdL setakat ini membabitkan penyertaan minimum tiga pasukan Dunia (UCI WorldTeam), tujuh pasukan Pro (UCI ProTeam), 11 pasukan benua (UCI Continental) dan satu pasukan kebangsaan Malaysia selain penganjur memuktamadkan tiga pasukan dunia (UCI WorldTeam) yang kini bersaing di Le Tour de France.

LTdL 2023 bermula dengan Peringkat 1 dari Kerteh ke Kuala Terengganu sejauh 184.4km; Peringkat 2 Kuala Terengganu ke Kota Bharu (186.2km); Peringkat 3 Jeli ke Baling (177.1km); Peringkat 4 Bukit Mertajam ke Meru Raya (140km); Peringkat 5 Slim River ke Genting Highlands (133.3km); Peringkat 6 Karak ke Melaka (176.6km); Peringkat 7 Muar ke Seremban 2 (125.7km) dan Peringkat 8 Setia Alam ke Kuala Lumpur sejauh 157km.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2023 @ 7:33 PM