JUARA dunia, Novak Djokovic tergelincir di atas rumput ketika membalas pukulan pemain Britain, Jack Draper di pusingan pertama Wimbledon, hari ini. FOTO AFP
JUARA dunia, Novak Djokovic tergelincir di atas rumput ketika membalas pukulan pemain Britain, Jack Draper di pusingan pertama Wimbledon, hari ini. FOTO AFP
AFP

London: Juara bertahan, Novak Djokovic mengatasi kebimbangan awal apabila melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Tenis Wimbledon, hari ini, dengan kemenangan 4-6, 6-1, 6-2, 6-2 ke atas pemain Britain yang menduduki ranking ke-253, Jack Draper.

Pemain nombor satu dunia, Djokovic kini memburu gelaran keenam Wimbledon dan ke-20 gelaran utama, kini dalam usaha menjadi lelaki ketiga dalam sejarah untuk melengkapkan kalendar Grand Slam.

Ia adalah pencapain memang jarang berlaku apabila Rod Laver muncul lelaki terakhir mencapainya pada 1969.

Bagaimanapun, pada ketika Wimbledon kembali dipertandingkan selepas dibatalkan pada 2020 akibat Covid-19, pemain berusia 34 tahun itu terpaksa berhempas pulas di atas permukaan licin Centre Court dan bumbungnya ditutup berikutan hujan.

Draper, pemain kidal yang beraksi pada perlawanan kelima di kejohanan utama, berjaya mengejutkan pilihan utama itu pada set pembukaan.

Bagaimanapun, Djokovic yang menyedari kemungkinan menjadi juara bertahan ketiga kecundang di pusingan pertama, kembali bangkit untuk memenangi pertarungan itu.

Djokovic akan berdepan sama ada bekas naib juara, Kevin Anderson atau pemain Chile, Marcelo Tomas Barrios Vera untuk merebut tempat ke pusingan 32 terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Jun 2021 @ 11:23 PM