ELENA menjuarai Terbuka Itali selepas lawannya Anhelina menarik diri kerana kecederaan. -FOTO Reuters
ELENA menjuarai Terbuka Itali selepas lawannya Anhelina menarik diri kerana kecederaan. -FOTO Reuters
AFP

Rom: Elena Rybakina dari Kazakhstan muncul juara Terbuka Itali selepas lawannya dari Ukraine, Anhelina Kalinina menarik diri akibat kecederaan.

Elena, pemain nombor enam dunia yang juga penyandang juara Wimbledon, mendahului 6-4, 1-0 apabila Kalinina memutuskan untuk menarik diri kerana kecederaan paha kiri selepas perlawanan bersambung akibat hujan.

Elena, 23, menjadi pemain pertama yang merangkul dua kejuaraan WTA 1000 musim ini selepas memenangi kejohanan berprestij di Indian Wells.

Dia juga naib juara di Terbuka Australia dan di Miami.

"Saya doakan Anhelina cepat sembuh, dia kawan baik saya," kata Elena selepas perlawanan akhir yang berlangsung selama 68 minit.

"Permainannya menakjubkan, saya harap dia cergas untuk Roland Garros."

Dia memberitahu peminat yang setia di stadium selepas menunggu hampir empat jam kerana hujan lebat: "Hari ini tidak mudah untuk pemain - tetapi ia juga tidak mudah untuk anda."

Elena yang akan menduduki ranking keempat dunia menjelang Terbuka Perancis, menjadi pemain wanita ketiga mara ke pusingan akhir di Terbuka Australia, Indian Wells, Miami dan Rom pada musim yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2023 @ 10:59 AM