PETRA (kanan) menjulang trofi dimenanginya bersama Elena. FOTO AFP
PETRA (kanan) menjulang trofi dimenanginya bersama Elena. FOTO AFP
AFP

Miami Gardens: Petra Kvitova menggunakan segala pengalamannya untuk meraih gelaran perseorangan WTA ke-30 selepas menewaskan Elena Rybakina di Terbuka Miami, awal pagi tadi.

Petra yang tampil di final Miami buat kali pertama di usia 33 tahun, menang 7-6 (16/14) 6-2 di Stadium Hard Rock, kemenangan yang akan mengembalikan juara Wimbledon dua kali itu di kedudukan ranking 10 teratas dunia.

Elena mara ke final dengan rekod kemenangan 13 perlawanan berturut-turut selepas memenangi gelaran di Indian Wells.

"Saya rasa ia antara perlawanan terpanjang sepanjang hidup saya. Tiada yang mudah apabila bertemu Elena.

"Pukulannya sangat kencang sehingga pada satu ketika saya terfikir bagaimana hendak bermain dengannya kerana ia sangat sukar," kata Petra yang kini sudah meraih sembilan gelaran WTA 1000.

Elena adalah sebahagian daripada generasi baharu yang berbakat dalam Jelajah WTA, bersama-sama dengan pemain nombor satu dunia, Iga Swiatek dari Poland dan Aryna Sabalenka dari Belarus, tetapi Petra berkata dia perlu menggunakan segala pengalamannya untuk menewaskan lawannya itu.

"Saya sudah beraksi begitu banyak di final. Saya tahu boleh bermain dengan baik di final, tidak kira siapa yang saya hadapi," kata Petra.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2023 @ 1:12 PM