Syazwan Msar


Phnom Penh: Permulaan yang agak menyedihkan buat wakil negara pada hari pertama sukan renang dipertandingkan apabila membawa pulang satu pingat saja pada aksi yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional Kompleks Sukan Morodok Techno, sebentar tadi.

Walaupun dibarisi atlet berpengalaman, namun perenang negara sukar untuk bersaing dengan wakil dari Thailand, Vietnam dan Singapura apabila membawa pulang pingat emas untuk negara masing-masing.

Malaysia pula seharusnya berterima kasih kepada Phee Jinq En yang sekurang-kurangnya membutirkan gangsa untuk negara pada acara kuak dada wanita individu 50 meter (50m) dengan catatan masa 31.94 saat (s).

Wakil negara itu tewas kepada perenang Thailand, Jenjira Srisa-Ad yang memperoleh emas (31.22s) manakala atlet Singapura, Sim En Yi membawa pulang perak menerusi catatan masa 31.94s.

Selain daripada acara terbabit, Malaysia turut menempah slot final bagi acara individu lelaki medley 200m, renang kuak kupu-kupu wanita 200m, gaya bebas lelaki 100m, 4x100m gaya bebas wanita namun tidak berjaya menghadiahkan pingat buat negara.

JINQ En (kanan) bersama pingat gangsa dimenanginya. FOTO Reuters
JINQ En (kanan) bersama pingat gangsa dimenanginya. FOTO Reuters

Sementara itu, Jinq En berkata, pingat gangsa itu membuktikan dia masih lagi berupaya menghadiahkan sesuatu buat negara selepas pada penyertaan kali kelima di temasya Sukan Sea.

"Saya berpuas hati dengan pencapaian terkini kerana mampu membawa pulang gangsa untuk negara seterusnya meniup semangat untuk mencipta keputusan positif pada acara lain.

"Boleh dikatakan, memenangi gangsa juga memperbaiki pencapaian pada musim lalu apabila gagal membawa pulang pingat untuk negara dalam acara berkenaan," katanya yang sudah memenangi sembilan pingat sepanjang tempoh penyertaan di temasya dwi tahunan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2023 @ 10:29 PM