JINQ En duduki tempat ke-11 daripada 25 perenang.
JINQ En duduki tempat ke-11 daripada 25 perenang.
Fabian Peter


Hangzhou: Acara renang Sukan Asia yang bermula hari ini menyaksikan tiada seorang pun perenang negara layak ke final yang berlangsung sebelah petang.

Pemegang rekod kebangsaan Phee Jinq En, 25, yang menyertai acara 50 meter (m) kuak dada gagal mengulangi pencapaian menduduki tempat kelima di temasya Jakarta-Palembang.

Jinq En mencatat 31.97 saat (s) untuk menduduki tempat ke-11 daripada 25 perenang. Awal tahun ini Jinq En meraih gangsa di Sukan Sea Kemboja dengan catatan 31.94s. 

Rekod kebangsaan miliknya kekal dengan catatan 31.40s yang dilakukan ketika meraih emas di Sukan Sea Filipina 2019. Jin Eq berpeluang menebus kehampaan apabila menyertai acara 100m kuak dada pada Rabu ini.

Walaupun permulaan suram perenang negara, atlet muda Jayden Tan tetap berbangga dengan penampilan pertamanya di temasya itu.

Atlet berusia 18 tahun itu menduduki tempat ke-20 keseluruhan dalam acara 200 individu rampaian dengan catatan 2:06.18s. 

Namun jika dia memecahkan rekod kebangsaan 2:03.77s yang dicatat Khiew Hoe Yean di Terbuka Malaysia Mac lalu, dia tetap terlepas ke final.

Tiket terakhir ke final milik perenang Singapura Maximillian Ang yang mencatat 2:03.08s. 

"Saya berenang lebih laju berbanding di Kejohanan Dunia di Fukuoka (2:06.31s) tetapi tidak mencukupi. Catatan terbaik saya 2:05s. 

"Acara (200m IM) bukanlah acara terkuat saya. Saya akan berusaha yang terbaik dalam acara 400m individu rampaian Rabu ini dan mahu layak ke final lapan terbaik," kata Jayden yang memegang rekod kebangsaan dengan catatan 4:23.24s yang dilakukan di Sukan Sea Kemboja pada Mei lalu.

Sementara itu dalam acara 100m gaya bebas lelaki, Lim Yin Chuen dan Arvin Shaun Singh masing-masing menduduki tempat ke-13 (50.82s) dan 18 (50.98s).

Dalam acara 100m kuak lentang lelaki Hii Puong Wei menduduki tangga ke-16 keseluruhan dengan catatan 57.67s.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2023 @ 2:57 PM