AHLI pasukan Aeon Big-Bubbles02 Liga Besbol Kebangsaan 2023 bergambar bersama piala yang akan dimenangi juara kebangsaan pada Majlis Pelancaran Aeon Big-Bubbles02 Liga Besbol Kebangsaan 2023 di sebuah pasaraya di Wangsa Maju. FOTO Bernama
AHLI pasukan Aeon Big-Bubbles02 Liga Besbol Kebangsaan 2023 bergambar bersama piala yang akan dimenangi juara kebangsaan pada Majlis Pelancaran Aeon Big-Bubbles02 Liga Besbol Kebangsaan 2023 di sebuah pasaraya di Wangsa Maju. FOTO Bernama
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Persekutuan Besbol Malaysia (BFM) memberi bayangan jumlah penyertaan pasukan untuk Liga Besbol Kebangsaan (NBL) pada musim depan akan ditingkatkan berbanding musim pertama yang membabitkan lapan pasukan sahaja.

Presiden BFM, Sazali Husain berkata, untuk penganjuran musim pertama, pihaknya menerima 12 permohonan daripada pasukan namun terpaksa menghadkan jumlah penyertaan atas faktor kurang pengalaman dalam menganjurkan liga.

"Sebenarnya, kita ada 12 pasukan yang memohon untuk menyertai liga tahun ini, tetapi kami belum mempunyai pengalaman dan bimbang jika kami tidak mampu menjalankan liga dengan berkesan dan akan memberi nama buruk kepada persatuan.

"Sebab itu, pasukan teknikal menghadkan kepada lapan pasukan sahaja untuk musim ini dan insya-Allah kita akan melihat lebih banyak pasukan bertanding untuk saingan liga tahun depan," katanya ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran NBL 2023 di sini, semalam.

Untuk rekod, sejak penubuhan BFM lebih 20 tahun lalu, ini merupakan kali pertama liga kebangsaan diperkenalkan yang menyaksikan lapan pasukan akan bersaing membabitkan Perlis, Perak, Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

"Saingan liga ini akan dijalankan selama dua bulan dan kami sedaya upaya akan mengikut format yang digunakan oleh badan dunia itu WBC (Konfederasi Besbol Dunia). Untuk sejarah Malaysia, ini saingan liga terbesar untuk sukan besbol.

"Diharapkan, semua pasukan beraksi dapat menampilkan persembahan terbaik demi menjamin kesinambungan liga pada masa akan datang," tambah Sazali.

Juara NBL musim pertama akan membawa pulang piala pusingan dan hadiah wang tunai RM5,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2023 @ 4:24 PM