BARISAN skuad besbol lelaki negara. -FOTO FB BFM
BARISAN skuad besbol lelaki negara. -FOTO FB BFM
Oleh Affan Rostam


Kuala Lumpur: Pasukan besbol lelaki negara akan membuat kemunculan pertama di kejohanan peringkat antarabangsa selepas 12 tahun apabila mereka dijadual menyertai Piala Koni di Jakarta, Indonesia pada 25 hingga 29 Ogos ini.

Kejohanan ini bukan sahaja menjadi penampilan antarabangsa sulung buat pasukan negara, malah mereka berpeluang untuk memungut mata ranking dunia yang pertama.

Selain Malaysia, pasukan dari Indonesia, Singapura, Korea Selatan dan kelab-kelab besbol terbaik Indonesia turut akan mengambil bahagian dalam kejohanan kali ini.

Presiden Persekutuan Besbol Malaysia (BFM), Sazali Husain berkata, pembabitan pasukan negara dalam kejohanan kali ini mampu menjadi ukuran terhadap prestasi semasa mereka selain menganggap ia adalah medan terbaik untuk pendedahan pemain.

"Piala Koni akan menjadi kayu pengukur untuk kembalinya kita di persada antarabangsa.

"Begitupun kita kena praktikal dengan pasukan yang kita ada ini selepas tidak ada pendedahan antarabangsa lebih 11 tahun dan pasukan muda ini yang rata-ratanya dengan purata umur di bawah 28 tahun.

"Kita akan meneroka kejohanan ini dan menjadi pendedahan pertama kita tetapi kita yakin mampu bersaing hebat dengan Indonesia dan Singapura. Ranking Singapura tak terlalu tinggi berbanding Indonesia.

"Indonesia nombor dua di Asia Tenggara dan Singapura agak sama dengan kita. Jadi kita yakin dan mampu memberikan saingan tetapi Korea Selatan pasti rankingnya agak jauh dengan kita.

"Bagaimanapun, saya menaruh harapan tinggi supaya pemain kita memberikan persembahan terbaik," katanya.

Pasukan negara akan membuka tirai saingan dengan bertemu pasukan Bawah 18 tahun (U18) Indonesia pada Jumaat ini sebelum meneruskan aksi menentang pasukan All Stars dan Singapura pada Sabtu ini.

Perlawanan terakhir iaitu menentang Korea bakal berlangsung pada Ahad.

Untuk rekod, pasukan negara sudah mengambil bahagian dalam beberapa siri perlawanan antarabangsa antaranya Sukan Sea Manila 2005, Sukan Sea Bangkok 2007 dan Piala Besbol Asia di Bangkok, Thailand pada 2009.

Malah, skuad besbol negara juga pernah memenangi pingat gangsa di Kejohanan Kelayakan Piala Dunia di Chandigarh, India pada tahun 2000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2022 @ 1:20 PM