ANTARA aksi di Liga Besbol Kebangsaan 2023. FOTO Liga Besbol Kebangsaan
ANTARA aksi di Liga Besbol Kebangsaan 2023. FOTO Liga Besbol Kebangsaan
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Penganjuran edisi sulung Liga Besbol Kebangsaan 2023 diharapkan mampu menjadi pemangkin kepada kejayaan lebih gemilang dalam sukan itu.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, besbol dilihat antara sukan untuk semua yang mempunyai potensi cerah sehingga menjadi sukan kompetitif tinggi seperti Major League Baseball (MLB) di Amerika Syarikat (AS).

Justeru Shapawi turut mengharapkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dapat menjadikan besbol sebagai salah satu sukan asas dalam kalangan pelajar universiti seperti diterapkan di AS.

"Penganjuran liga ini diharapkan mampu menjadi platform untuk mempopularkan sukan itu di negara ini seterusnya menggalakkan lebih ramai menceburinya.

"Kita alu-alukan apa saja sukan tertakluk penerimaannya di tahap antarabangsa jika dikendalikan satu badan sukan antarabangsa seperti OCA (Majlis Olimpik Asia), SEAGF (Persekutuan Sukan Asia Tenggara) dan Olimpik," katanya.

Shapawi berkata demikian pada Majlis Perasmian Liga Besbol Kebangsaan 2023 di Padang Besbol Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dirasmikan oleh Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Turut sama pada majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Presiden BFM, Sazali Husain.

Saingan liga itu bermula sejak 10 Jun lalu dan dijalankan selama enam minggu pada setiap Sabtu dan Ahad yang disertai 184 orang peserta berusia 20 hingga 30 tahun.

Sebanyak lapan pasukan seperti Perlis, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor mengambil bahagian pada edisi sulung ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2023 @ 4:54 PM