ADAM Adli ketika sidang media  di  KLIA. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ADAM Adli ketika sidang media di KLIA. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Ferzalfie Fauzi


Sepang: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memberi fokus terhadap usaha bagi menyelesaikan isu berbangkit dialami atlet negara dan persatuan sukan kebangsaan seperti dibangkitkan mereka dalam sesi 'Townhall', minggu lalu.

Menurut Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim, isu-isu berbangkit itu merangkumi kebajikan atlet, pembangunan fasiliti sukan dan pembangunan akar umbi.

"Menerusi sesi 'Townhall' itu, kita mendapat gambaran lebih jelas mengenai permasalahan dihadapi atlet dan persatuan sukan. Ada yang dibangkit itu adalah masalah berlarutan dan mungkin pernah disuarakan sebelum ini," kataya selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada dua pasukan e-sukan negara, Todak dan Team Haq yang akan menggalas cabaran Malaysia di Kejohanan Dunia Mobile Legends Bang Bang (MLBB) M4 di Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Ujarnya, sudah tiba masa bagi pihak kementerian untuk mengambil sikap lebih jelas dalam menyelesaikan isu berbangkit terutamanya membabitkan kebajikan atlet, pembangunan fasiliti dan pembangunan akar umbi.

"Kita jumpa banyak pihak iaitu persatuan sukan, atlet program podium, atlet pelapis dan termasuklah atlet para. Kita dapat perspektif berbeza tetapi tujuan dan matlamatnya adalah sama.

"Mereka mahu lihat kita bangunkan prestasi sukan kita bukan saja di peringkat kejohanan antarabangsa tetapi juga kejohanan tempatan. Itu yang kita banyak belajar dan ia boleh dicapai dengan pengurusan lebih efisyen dan tata kelola yang lebih baik," katanya.

MLBB M4 akan berlangsung di Jakarta, Indonesia dari 1 hingga 15 Januari ini.

Minggu lalu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Adam mengadakan sesi 'Townhall' bersama atlet negara dan persatuan sukan kebangsaan bagi mendapatkan maklum balas daripada mereka terutama bagi melakukan penambahbaikan untuk meningkatkan prestasi sukan negara.

Sementara itu, beliau memberitahu KBS dalam proses untuk memuktamadkan garis panduan yang menguruskan pembangunan sukan elektronik atau e-sukan di negara ini.

Katanya, proses memuktamadkan garis panduan e-sukan itu kini berada di dalam fasa terakhir sebelum ia dilaksanakan.

"Garis panduan e-sukan ini sangat penting untuk kita menguruskan tatakelola sukan itu secara lebih teratur agar terlindung. Ia juga merangkumi pengurusan data perlindungan membabitkan penggiat e-sukan dan kos etika perlindungan sains e-sukan agar diperluaskan dalam kalangan komuniti secara selamat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Disember 2022 @ 4:16 PM