Ferzalfie Fauzi dan Syazwan Msar

[email protected]

KUALA LUMPUR: Malaysia kini memiliki satu lagi ‘pintu’ untuk dikenali dunia iaitu menerusi e-sukan.

Sejak kebelakangan ini, atlet Malaysia di dalam e-sukan semakin dikenali dan kemampuan mereka di dalam acara berkenaan sudah mula menjadi buah mulut.

Perkara itu didedahkan pengasas Gamesbond, Lee Sook Yih apabila beliau melihat atlet sukan elektronik Malaysia bukan bertaraf ‘cap ayam’ kerana ada antara mereka kini menduduki ranking antara 50 terbaik dunia terutama dalam sukan FIFA.

Sook Yih atau lebih mesra dengan panggilan Sukie berkata, Gamesbond antara pelopor sukan berkenaan di Malaysia apabila sudah mengendalikan lebih 20 pertandingan membabitkan ribuan peserta pelbagai negara.

Sejak penganjuran seumpama itu, Gamesbond secara tidak langsung melahirkan ramai atlet Malaysia bertaraf dunia.

  E-SUKAN di Malaysia semakin berkembang dengan kebangkitan bidang ICT.
E-SUKAN di Malaysia semakin berkembang dengan kebangkitan bidang ICT.

Beliau berkata, setakat ini, antara sukan elektronik yang mendapat tempat di hati peminat adalah Mobile Legend Bang Bang (MLBB), PUBG Mobile, Dota2 dan FIFA termasuklah Pro Evolution Soccer (PES).

Katanya, Gamesbond turut berperanan dalam membantu seterusnya membentuk juara dunia dalam sukan FIFA supaya dapat bersaing dengan peserta daripada negara lain yang dikatakan mempunyai atlet hebat serta memonopoli sukan terbabit.

“Fenomena sukan elektronik atau e-sukan menjadi kegilaan rata-rata remaja di Malaysia dan dilihat semakin berkembang seiring dengan kebangkitan bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

“Malah, arena e-sukan juga semakin mendapat perhatian banyak pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan yang mengiktirafnya sebagai satu bentuk sukan kompetitif di peringkat global. Ini berikutan kerajaan mahu golongan berkenaan dipupuk dan diberi bimbingan untuk diketengahkan serta bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

KEJOHANAN e-sukan terima sambutan hangat daripada belia.
KEJOHANAN e-sukan terima sambutan hangat daripada belia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 6:00 AM