PASUKAN e-Sukan negara berjaya merangkul pingat perak selepas tewas kepada pasukan tuan rumah Kemboja dalam perlawanan akhir permainan 'Attack Online 2'. -FOTO Bernama
PASUKAN e-Sukan negara berjaya merangkul pingat perak selepas tewas kepada pasukan tuan rumah Kemboja dalam perlawanan akhir permainan 'Attack Online 2'. -FOTO Bernama
Oleh Syazwan Msar


Phnom Penh: Pasukan e-Sukan negara sudah membuktikan bahawa mereka bukanlah mempertaruhkan pemain 'tangkap muat' pada temasya Sukan Sea Kemboja 2023 kali ini.

Pengurus skuad e-Sukan negara, Andrew Chenong berkata, kejayaan skuad Mobile Legends Bang Bang (MLBB) lelaki membawa pulang perak semalam memberi amaran bahawa Malaysia bakal menguasai sukan terbabit pada masa akan datang.

Andrew berkata, sasaran awal yang ditetapkan untuk skuad MLBB lelaki adalah meraih gangsa berdasarkan reputasi hebat yang dimiliki oleh negara serantau seperti Indonesia dan Filipina.

"Pada awalnya, saya letakkan sasaran pingat gangsa kepada pasukan ini tetapi mereka mempamerkan prestasi luar biasa untuk mara ke pentas final sebelum tewas kepada Filipina.

"Secara jujur, pingat perak juga boleh dianggap sebagai satu kejayaan cemerlang dan ini adalah prestasi terbaik negara dalam arena e-Sukan temasya Sukan Sea di Phnom Penh kali ini.

"Malah, saya percaya kejayaan ini boleh dijadikan sebagai bukti bahawa barisan atlet e-Sukan negara tidak berada di sini sekadar untuk makan angin kerana mereka serius pada setiap acara yang dipertandingkan," katanya.

Pada aksi final di Dewan Nagaworld 2, Phnom Penh semalam, skuad MLBB negara yang diwakili oleh beberapa pemain ternama seperti Muhammad Danial Fuad (Cikugais) dan Mohamad Zul Hisham Noor (Xorn) tewas dengan kekalahan 0-3 kepada Filipina.

Mengulas mengenai keputusan itu, Andrew yang lebih mesra dengan nama Sir Cloud mengakui kalah atau menang adalah adat pertandingan dan apa yang penting mereka sudah berikan yang terbaik.

"Kita berjaya tewaskan Filipina di peringkat kumpulan kali ini, namun keputusan berbeza apabila bertemu semula di pentas final. Tiada apa yang perlu dikesalkan kerana pemain sudah berjuang untuk menyumbangkan emas tetapi tidak berjaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2023 @ 1:51 PM