Lydia Saiful


Kuala Lumpur: Usaha memperkukuhkan ekosistem e-sukan yang dinamik, berdaya tahan, dan inklusif diteruskan dengan gelaran Musim Ketiga Kejuaraan E-sukan Malaysia (MEC) 23/24.

Pendaftaran kini dibuka sehingga 5 Januari 2024. Penganjuran kejohanan selaras dengan komitmen Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam mendorong dan memajukan industri e-sukan tempatan, sebagaimana termaktub dalam 'Pelan Pembangunan E-sukan KBS 2020-2025.'

Esports Integrated (ESI) dalam satu kenyataan media berkata, kejuaraan E-Sukan Malaysia (MEC) memainkan peranan penting dalam merangsang komuniti e-sukan negara dan terus mendorong pertumbuhan budaya bermain game di Malaysia.

"Musim MEC kali ini bakal menyaksikan pertandingan lima judul permainan seperti Player Unknown's Battleground (PUBG) Mobile, Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), DOTA 2, Tekken 7, dan Gran Turismo 7.

"Pasukan profesional e-sukan yang sudah memenuhi syarat bakal mewakili PUBG Mobile dan MLBB dalam MEC 23/24 berdasarkan rekod kejohanan mereka.

"Juara Liga E-sukan Malaysia 2023 dan Kejohanan MyLadies 2022 dijemput untuk bertanding dalam Playoff bersama 30 pasukan lain dalam kategori PUBG Mobile.

"Sementara itu, juara Liga E-sukan Malaysia 2023, Kejohanan MyLadies 2022, Liga Esukan Negeri (ESTL), dan Kejuaraan Johor All Stars 2023 dijemput bertanding dalam Playoff bersama empat pasukan lain dari Kelayakan Terbuka dalam kategori MLBB," kata ESI.

Pasukan e-sukan profesional atau amatur dialu-alukan untuk menyertai Kejuaraan MEC 23/24 dan berpeluang menunjukkan kemahiran atau bakat mereka serta berpotensi memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM250,000.

Tempoh kelayakan terbuka untuk MEC 23/24 dalam Dota 2, MLBB, dan PUBG Mobile bakal dijalankan secara atas talian dari 15 hingga 20 Januari 2024, sementara pusingan akhir pula berlangsung secara fizikal dari 2 hingga 4 Februari 2024.

Bagi Tekken 7 dan Gran Turismo, kelayakan terbuka diadakan secara fizikal dari 26 hingga 28 Januari tahun depan, manakala pusingan akhir berlangsung pada 26 hingga 28 Februari 2025.

Kejuaraan berlangsung di hab e-Sukan ESI Hub di Spacerubix, Puchong bermula 26 Januari.

Kejuaraan E-sukan Malaysia 23/24 dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Esports Integrated (ESI), bersama Rakan Minuman Rasmi, Goodday Milk Malaysia serta Rakan Aktivasi, Rakan Muda, dan Rakan Digital.

Untuk menyertai MEC23/24, peserta boleh mendaftar melalui akaun E-sukan di https://www.esukan.gg dan memilih pertandingan yang ingin sertai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2023 @ 5:27 PM