AZIZULHASNI kini dalam fasa pemulihan selepas menjalani pembedahan jantung pada April lalu. FOTO FB DATUK AZIZULHASNI AWANG
AZIZULHASNI kini dalam fasa pemulihan selepas menjalani pembedahan jantung pada April lalu. FOTO FB DATUK AZIZULHASNI AWANG
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: "Insya-Allah, The Pocket Rocketman akan kembali."

Demikian bayangan diberikan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang yang dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan jantung, April lalu.

Azizulhasni yang dinobatkan sebagai Atlet Terbaik Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) pada majlis Anugerah 100Plus Perpaduan 2020/2021 buat kali keempat, semalam berkata, ketika ini dia sedang melalui fasa pemulihan.

"Alhamdulillah saya sekali lagi di nobatkan sebagai pemenang Atlet Terbaik Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) pada Anugerah 100Plus Perpaduan tahun 2020/2021.

"Ini adalah anugerah keempat saya selepas memenangi pada 2009, 2017 dan 2019. Kemenangan ini akan saya jadikan sebagai pemangkin semangat buat diri saya yang sekarang dalam proses pemulihan dari pembedahan jantung untuk kembali ke puncak prestasi dan kembali merancakkan arena sukan negara. Insya-Allah.

"Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada jawatankuasa pemilihan, SAM, 100Plus dan kepada semua warga media yang sentiasa bekerja keras serta tidak lupa juga kepada semua penyokong yang sentiasa mendoakan saya," katanya menerusi status terbaharu di media sosialnya.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu disahkan mengalami masalah jantung dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggal/ganjil (AAORCA).

Dia selamat menjalani pembedahan di Hospital Epworth Richmond, Melbourne pada 21 April lalu.

Ketua jurulatih skuad berbasikal trek negara, John Beasley sebelum ini memberi bayangan Azizulhasni bakal kembali menggegar trek dengan misi utama adalah untuk menyinar di pentas Sukan Asia dekat Guangzhou, September tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2022 @ 7:04 PM