SKUAD berbasikal trek negara ke Sukan Komanwel Birmigham 2022 diraikan sebaik tiba di KLIA, hari ini.
SKUAD berbasikal trek negara ke Sukan Komanwel Birmigham 2022 diraikan sebaik tiba di KLIA, hari ini.
Saiful Affendy Sapran


Sepang: Jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang bakal kembali menggegar trek dengan misi utama adalah untuk menyinar di pentas Sukan Asia di Guangzhou, September tahun depan.

Perkara itu dimaklumkan ketua jurulatih skuad berbasikal trek negara, John Beasley yang kerap menghubungi 'The Pocket Rocketman' dan mahukannya kembali beraksi.

Azizulhasni terpaksa berehat panjang selepas menjalani pembedahan jantung, April lalu dan kini melalui proses pemulihan di Melbourne, Australia.

"Saya kerap menghubunginya, seminggu dalam tiga kali dan kini saya sedang merangka pelan latihan untuk dirinya.

"Dia dijangka akan kembali pada pertengahan September, berlatih bersama kami dan kemudian akan kembali ke Australia untuk uruskan hal pemindahan keluarganya.

"Pastinya dia akan bersama kami untuk ke Sukan Asia," jelas Beasley yang ditemui ketika kepulangan skuad berbasikal trek negara dari Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Sebagai rekod, Azizulhasni adalah merupakan penyandang pingat emas acara pecut di Sukan Asia 2018.

Kehadirannya pasti akan meniupkan kembali semangat barisan pelumba berbasikal trek negara selepas prestasi kurang memberangsangkan di Birmingham 2022 apabila sekadar membawa pulang satu pingat gangsa menerusi Shah Firdaus Shahrom dalam acara keirin.

Pencapaian itu menyaksikan skuad negara terus kemarau pingat emas di temasya itu selepas kali terakhir Josiah Ng memenanginya pada 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2022 @ 5:15 PM